TERKINI

“Cadangan Nazri Aziz Dangkal Dan Bodoh” – Khairuddin Abu Hassan

Khairuddin Abu Hassan – malaydaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2023 – Cadangan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mencadangkan agar perlembagaan negara dipinda supaya Parlimen wujud selama lima tahun, disanggah oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu buah pemikiran yang dangkal, bodoh serta tidak menghormati amalan demokrasi

Menurut Khairuddin yang juga Ketua Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, cadangan tersebut akan mengundang amalan salah guna kuasa secara ekstrem kerana tiada proses penukaran kepimpinan sepertimana zaman kerajaan kleptokrasi sebelum ini.

“Apa yang dinyatakan oleh Nazri Aziz juga bakal mengundang kepada amalan salah guna kuasa secara ekstrim bila sesebuah parti dapat menubuhkan kerajaan dan tidak ada proses untuk menukar sesebuah kepimpinan sekiranya mereka salah guna kuasa seperti di zaman kerajaan kleptokrasi dahulu.

“Takkan kita nak kena tunggu sehingga lima tahun untuk menukar kepimpinan yang boleh merosakkan bangsa dan negara?

Khairuddin juga berkata sekiranya berlaku kepincangan dan kita perlu menunggu sehingga lima tahun, waktu itu negara dan rakyat sudah pun hancur.

Beliau turut mempersoalkan adakah hak untuk menukar kerajaan yang tidak baik, selepas Pilihanraya Umum melalui kuasa-kuasa yang termaktub dalam perlembagaan, tidak boleh?

“Jika DYMM Agong memperkenankan sesebuah parti menubuhkan kerajaan selepas PRU tetapi kerajaan tersebut melakukan pelbagai salah guna kuasa yang bakal mengancam bangsa dan negara maka apakah kita tidak boleh bertindak melalui kuasa-kuasa yang termaktub dalam perlembagaan untuk menukarkan sesebuah kerajaan yang tidak baik itu?

“Apakah kita harus izinkan sesebuah kerajaan yang jelas gagal secara teruk untuk terus
mentadbir negara sehingga boleh merosakkan masa depan bangsa serta negara sendiri?. Soalnya.

Tambah Khairuddin, kita tidak perlu meminda perlembagaan untuk mengekalkan sesebuah kerajaan tetapi asasnya kepimpinan yang mentadbir negara harus menjaminkan kerajaan mereka efektif untuk menjaminkan masa depan bangsa dan negara terus terpelihara.

“Ini yang sepatutnya menjadi asas utama ke arah menjaminkan agar sesebuah kerajaan itu kekal secara ‘natural.’ Ujar beliau dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Terdahulu, Nazri Aziz sebelum ini dilaporkan telah mencadangkan agar perlembagaan negara dipinda supaya selepas pilihan raya, Parlimen wujud selama lima tahun.

Mohamed Nazri menjelaskan cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan pada Jumaat, demikian menurut laporan Astro Awani. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp