TERKINI

Rasuah: CEO, pemilik syarikat pembekalan air ditahan

Gambar hiasan – foto SPRM

JOHOR BAHRU, 1 Mei 24 – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat ditahan selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada pemilik dua syarikat kontraktor.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek lelaki berusia 38 dan 35 tahun itu telah ditahan di pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 4 petang Selasa.

“Penahanan tersebut berikutan siasatan atas beberapa aduan sekitar tahun 2023, di mana suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor.

“Ia sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air tersebut.

“Selain itu, suspek juga terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi Rabu bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp