TERKINI

Cadangan WBB langkah membuli petugas kesihatan – YB Dr Yadzil

Mohd Yadzil Yaakub (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 22 Jan 25 – Ahli Dewan Undangan Kawasan Bemban, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub menyifatkan cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) kepada petugas kesihatan bukan untuk membela kebajikan mereka sebaliknya sebagai membuli.

Dalam satu kenyataan, Dr Yadzil mendakwa libat urus yang diadakan hanya sekadar syarat untuk mengabsahkan cadangan tersebut.

“Libat urus yang dilaksanakan hanya sekadar syarat, bukanlah untuk mendapatkan pandangan atau maklum balas tetapi hanya untuk menjelaskan apa yang telah diputuskan dan akan dilaksanakan.

“Setuju atau tidak hanya perlu dengar dan akhirnya dipaksa akur dengan yang telah ditetapkan. Ujarnya.

Dr Yadzil yang juga seorang pengamal perubatan berkata bahawa sekalipun waktu kerja dipendekkan, namun beban semakin bertambah dengan bayaran ‘on-call’ dinafikan.

“Mana yang dimaksudkan menteri untuk menjaga kebajikan petugas kesihatan? Soalnya.

Dalam kenyataan yang sama, Yadzil menjelaskan bahawa kekurangan petugas kesihatan yang menjadi isu utama sektor kesihatan tidak akan selesai dengan WBB malah akan melumpuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara jika dilaksanakan.

“Akan membunuh sifat ikhlas untuk bekerja di dalam diri petugas kesihatan akibat kerja kuat mereka yang tidak dihargai.

“Saya gesa pihak Kementerian Kesihatan batalkan perlaksanaan WBB yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada petugas kesihatan.

“Kebajikan petugas di sektor kesihatan perlu diutamakan untuk memastikan mereka terus berkhidmat dengan ikhlas memberikan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang. Tegasnya.

Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, pelaksanaan sistem WBB akan diputuskan KKM selepas memperoleh maklum balas mengenainya diperoleh dalam sesi pemukiman pimpinan tertinggi kementerian yang berlangsung tiga hari berakhir hari ini.

Dzulkefly berkata, ia memberi tumpuan kepada isu sumber manusia, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta agihan petugas kesihatan yang tidak seimbang.

Namun demikian, terdapat laporan mengenai kebimbangan mengenai cadangan tersebut disuarakan oleh para petugas kesihatan dalam Majlis Libat Urus Sesi Town Hall baru-baru ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp