TERKINI

Chegu Bard Akan Saman MB Selangor

Badrul Hisham Shaharin (kiri), Amiruddin Shari (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2023 – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin mengatakan akan memulakan proses untuk mengemukakan tuntutan saman terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atas dakwaan memfitnah.

Badrul yang dikenali sebagai Chegu Bard berkata, ia susulan kenyataan Amirudin dalam sidang medianya kelmarin yang mendakwa beliau boleh dibeli, susulan pendedahan berkenaan skandal tanah yang dibuatnya.

“Kelmarin dalam sidang media menteri besar, (kenyataan dikeluarkannya) penuh fitnah terhadap saya.

“Saya dah bincang dengan kawan peguam, petang ini atau esok pagi saya akan memulakan tindakan saman ke atas menteri besar Selangor ‘caretaker’ saya akan keluarkan surat tuntutan,” kata Chegu Bard, dalam sidang medianya yang disiarkan secara langsung di laman media sosial miliknya, pada rabu.

Antara tuntutan yang dibuat Chegu Bard adalah Amirudin perlu menarik balik kesemua tuduhan yang dilemparkan dan mengemukakan permohonan maaf kepadanya.

“Dia harus tarik semula tuduhan fitnah kepada Chegu Bard, dan kedua minta maaf.

“Kalau tidak dia akan berjumpa saya di mahkamah,” katanya lagi.

Dalam sidang media Amirudin semalam, beliau berkata tidak ambil berat terhadap tuduhan dan dakwaan dilemparkan Chegu Bard terhadapnya.

Katanya, Chegu Bard juga hanya bergerak dengan orang yang mengupahnya sahaja.

Dalam sidang Chegu Bard semalam, beliau turut menuduh Amirudin berbohong dalam isu membabitkan status tanah yang terlibat dalam projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang bernilai RM10 bilion.

Katanya, berdasarkan dokumen perjanjian, perenggan 4.1 dan 4.2(A), semua pinjaman yang diambil oleh Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) adalah menjadi 45% tanggungan kepada kerajaan negeri.

“Kalau syarikat ini rugi, rakyat Selangor menanggung hutang yang telah diikat dan dipindah janji melalui perenggan 5.1(D) dan 6.3,” katanya.

Chegu Bard turut menepis kenyataan Amirudin sebelum ini berhubung status tanah seluas 600 ekar yang dikatakan sebagai milik kerajaan negeri.

“Sama ada beliau keliru, tak pandai undang-undang atau sengaja menipu. Mengikut perenggan 6.4, Landasan Lumayan Sdn Bhd kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd, semua tanah diserahkan kepada LLSB tertera kepada perenggan 7.6 dan 8.4,” katanya.

Malah, perjanjian itu juga katanya mempunyai tandatangan Tan Sri Vincent Tan dan Syed Ali Shahul Hameed, ketua pegawai eksekutif Berjaya Group yang menunjukkan syarikat berkenaan mengawal sepenuhnya projek berkenaan.

Disebabkan itu, Chegu Bard menafikan kenyataan Amirudin kononnya projek tersebut dikawal oleh kerajaan negeri. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp