TERKINI

Covid-19 : Kes meningkat, KKM nasihat amalkan langkah pencegahan

Gambar hiasan – foto WHO

KUALA LUMPUR, 23 Nov 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 2,305 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 November hingga 18 November lalu berbanding berbanding 1,801 kes pada ME 45/2023 (5 hingga 11 November 2023), peningkatan sebanyak 28 peratus.

“Sehingga kini, situasi Covid-19 masih terkawal di Malaysia. Pada ME 46/2023, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes Variant of Concern (VOC) dan satu kes Variant of Interest (VOI).

“Terdapat sebanyak 785 kumulatif kes VOI (XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5) dengan 783 kes tempatan dan dua kes import sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Sarawak mencatatkan  143 kes pada tempoh tersebut diikuti Selangor (136), WP Kuala Lumpur (119), Melaka (117), Johor (59), Kedah (52), Pulau Pinang (37) dan Terengganu (24).

Manakala Sabah merekodkan 23 kes, Kelantan (21), Negeri Sembilan (16), Perlis (12), masing-masing sembilan kes di Perak dan WP Putrajaya serta lapan kes di Pahang.

Sementara itu, menurut KKM, berdasarkan data sehingga 31 Oktober 2023, hanya 16,348,414 penduduk Malaysia (50.1 peratus) menerima dos penggalak pertama dan hanya 828,148 penduduk Malaysia (2.5 peratus) menerima dos penggalak kedua.

Katanya, risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“KKM menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan perayaan dan aktiviti-aktiviti perkumpulan.

“Sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan pensanitasi, memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) sekiranya bergejala,” ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp