TERKINI

Zahid Hamidi Tak Layak Jadi Presiden UMNO – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – Foto Pejabat KSU POM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2023 – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan individu tepat untuk mengemudi Umno, kerana disabitkan dengan 47 pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno juga katanya merupakan parti yang buruk bukan seperti waktu beliau memimpin Umno selama lebih 20 tahun lalu.

“Ini bukan Umno yang ditubuh, ini Umno yang kena hi-jack oleh orang yang mempunyai perjuangan yang berlainan.

“Dia (Zahid) tak layak langsung (jadi presiden), ada 47 pertuduhan terhadap dia, dia minta nak jadi timbalan (perdana menteri) kononnya pasal TPM dia tidak akan dihukum.

“Tapi saya harap dia akan dihadapkan ke mahkamah dan tidak ada pengaruh lain yang cuba menyelamatkan dia, ” kata Mahathir dalam satu sidang media semalam.

Beliau demikian ketika diminta mengulas prestasi teruk Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Umno hanya menang di 18 kerusi DUN daripada 108 kerusi yang ditandinginya.

Kata Mahathir, ketika zaman kegemilangan Umno, parti itu banyak memberikan kelebihan buat rakyat di negara ini khususnya melibatkan orang Melayu.

Namun, ekoran salah guna kuasa yang dilihat berleluasa di dalam parti itu menjadikan rakyat, khususnya orang Melayu menolak Umno.

“Kita lihat dulu Umno adalah satu parti yang disokong oleh seluruh negara, sehinggakan Britisih pun kita dapat tewaskan , kemerdekaan pun kita dapat capai, pembangunan negara pun berlaku semasa Umno memeintah

“Tetapi apabila ada pemimpin yang bukan utamakan perjuangan Umno sebaliknya lebih utamakan apa yang pemimpin dapat, cash is king, (habis) rosak Umno.

“Sejak itu kita lihat prestasi Umno merudum dan sentiasa turun sampai sekarang ini tidak tinggal apa-apa dah.

“Daripada dulu dapat majoriti yang kuat, dapat diri kerajaan yang kukuh, sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli mereka sendiri, siapa yang tidak bersetuju dengan pemimpin akan disingkir, ” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp