SHAH ALAM, 29 April 2023 – Warga emas berusia 65 tahun ke atas, bayi dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta ibu hamil dan menyusukan anak antara golongan yang berisiko tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berkongsikan perkara itu menerusi info grafik dimuat naik di Facebook turut memaklumkan jenis pekerjaan dan status kesihatan yang perlu diberi perhatian rentetan beberapa kawasan di Malaysia telah dilanda cuaca panas dengan suhu yang tinggi sejak kebelakangan ini.
“Penghidap penyakit kronik (sakit jantung dan darah tinggi), pekerja yang terdedah dengan cuaca panas serta individu aktif sebagai contoh ahli sukan berisiko tinggi apabila cuaca panas,” menurut maklumat dalam info grafik tersebut.
Posting yang dimuat naik pada pagi Sabtu itu juga mengingatkan fenomena cuaca panas memberi kesan kepada kesihatan seperti boleh mengakibatkan strok haba apabila terdedah secara berterusan.
Jelas info itu lagi, langkah bagi mengurangkan pendedahan terhadap cuaca panas perlu diambil untuk mengurangkan kesan terhadap kesihatan. – Sinar Harian