TERKINI

Dakwaan kaitkan KFA dengan rasuah, tunggu surat saman – Sanusi

Muhammad Sanusi bin Md Nor (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 13 Jan 2024 – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor akan menyaman pihak yang menggambarkan berlakunya kegiatan rasuah dengan mengaitkan tuduhan terhadap presiden serta empat individu lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, surat saman akan dihantar ke rumah dan pejabat pihak berkenaan dalam masa terdekat.

“Sila tunggu surat saman di rumah dan di pejabat masing-masing,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Menurut Sanusi, pihak terbabit dilihat bersungguh-sungguh menggambarkan berlaku rasuah RM6 juta dalam KFA.

Dalam kenyataan media itu, Sanusi menjelaskan, pada tahun 2020, syarikat Tulangis Sdn. Bhd (Tulangis) yang diwakili Mohd Hazarul Ifdaz telah menyatakan minat untuk memiliki saham Darulaman Football Club Sdn. Bhd. (DAFC).

Katanya, atas dasar keterbukaan, rundingan berhubung tawaran pemilikan saham tersebut telah berlangsung dan Tulangis bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM5 juta sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 juta.

“Sebanyak RM5 juta telah didepositkan ke akaun KFA pada tahun itu. Namun, rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati Tulangis bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta merta.

“Syarikat Tulangis kemudian menuntut pembayaran sebahagian pinjaman berjumlah RM1.3 juta daripada RM5 juta berdasarkan kemampuan kewangan semasa KFA.

“Pada waktu sama, muncul syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) sebuah konglomerat besar yang mendakwa jumlah RM5 juta itu adalah wang mereka,” dedahnya.

Beliau berkata, BCB mendakwa wang RM5 juta itu diberikan kepada Tulangis bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksanakan atau menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain.

Jelas Sanusi, tidak timbul sama sekali kes penyelewengan atau pecah amanah sejumlah wang bernilai RM6 juta kerana jumlah pinjaman itu adalah RM5 juta.

“BCB yang tidak pernah berurusan dengan KFA juga menuntut wang yang telah diberikan kepada Tulangis dengan surat tuntutan itu disalinkan kepada KFA.

“Pihak yang melakukan penipuan adalah Tulangis dan yang tertipu dengan janji projek adalah BCB. Ini kerana pihak yang menjanjikan projek kepada BCB adalah Tulangis, bukan KFA.

“Syarikat Tulangis juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba, tetapi penilaian MBI (Perbadanan Menteri Besar) selaku pemaju dan pemilik tanah terhadapnya menunjukkan Tulangis langsung tidak mempunyai keupayaan,” jelas beliau.

Justeru, tambah Sanusi lagi, kedua-dua syarikat iaitu Tulangis dan BCB tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA.

Kata beliau, memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA.

“Tiada penyalahgunaan, songlap dan penyelewengan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak dalam KFA, melainkan sepenuhnya dibelanjakan untuk persatuan bolasepak ini.

“Dakwaan rasuah ini paling luar biasa di dunia dan boleh dianggap luar tabii. Kes disiasat kerana tidak memberi projek, sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau projek.

“Inilah plot yang dimaksudkan iaitu mengada-gadakan hal yang tidak ada,” tambahnya.
Tegas Sanusi, mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bertujuan merosakkan reputasi KFA,

Presiden atau pegawainya berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6 juta akan berdepan tindakan undang-undang sesegera mungkin.

Beliau turut menyertakan bersama dokumen sokongan yang berkaitan sebagai bukti kecuali surat tuntutan bayaran pinjaman sebanyak RM1.3 juta yang berada dalam simpanan pihak SPRM bagi tujuan siasatan. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp