TERKINI

Dakwaan Siam Jajah Kedah Tak Benar – Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor – foto youtube The Star

ALOR SETAR, 8 Jun 2023 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan bahawa Siam (Thailand) pernah menjajah negeri Kedah.

Katanya, dakwaan bahawa Siam pernah menjajah Kedah juga tidak benar kerana tiada dokumen rasmi menunjukkan Siam mentadbir negeri itu, sebaliknya semua pemerintahan dilakukan Sultan Kedah sehingga kini.

“Ada kata kalau kita ungkit ini semua, maka Thailand akan ungkit semula pemilikan mereka ke atas Kedah.

“Seluruh dokumen sejarah dan penghakiman 1906 dalam kes Tengku Saad yang didakwa menyerang Siam, hakim mendapati Kedah adalah negeri berdaulat dan tidak ada dokumen menunjukkan berlaku pemerintahan efektif Siam ke atas Kedah.

“Malah ketika Siam dikatakan menjajah Kedah sekalipun, segala pentadbiran masih dibuat Sultan Kedah yang dibuktikan melalui surat putus kecil atau geran tanah yang dikeluarkan dan ditandatangani Sultan Kedah,” katanya.

Mengulas mengenai bayaran ufti yang pernah dibayar Kedah kepada Siam, Muhammad Sanusi menjelaskan pembayaran itu hanya berlaku ketika pemerintahan Kerajaan Ayutthaya.

“Mereka kata Kedah bayar ufti kepada Siam, tapi itu berlaku ketika zaman Kerajaan Ayutthaya yang mengamalkan sistem raja bergilir antara negeri di bawahnya, ketika itu Kelantan dan Terengganu turut menghantar bunga emas tanda persahabatan.

“Kerajaan Ayuttahya juga bersahabat dengan Kerajaan Champa yang melahirkan ulama besar, Sunan Ampel yang kemudian menyebarkan Islam kepada Kerajaan Srivijaya di Jawa.

“Kerajaan Ayutthaya kemudian diserang orang Thai dari sebelah utara yang memusnahkan kerajaan itu dan menubuhkan kerajaan baharu sebelum mereka memaksa bunga ufti terus dibayar,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp