TERKINI

Pelantikan Idrus sebagai pengerusi Amanah Raya mengecewakan, kata peguam

Rafique Rashid (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 14 Okt 2023 – Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata pelantikan bekas peguam negara Tan Sri Idrus Harun sebagai pengerusi Amanah Raya Berhad amat mengecewakan.

Rafique berkata, pelantikan itu bersifat lantikan politik, lebih-lebih lagi selepas Idrus pernah membebaskan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan di mahkamah, dihujung perkhidmatan sebagai peguam negara.

“Kini, bekas peguam negara, ya peguam Negara yang sama yang syor DNAA untuk Zahid Hamidi dan orang yang sama seperti kata PMX yang berjumpa dengan beliau yang menyatakan DNAA perlu diberikan, dilantik sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad.

“Tetapi dengan hormatnya saya nyatakan , posisi beliau sebagai peguam negara yang telah syorkan Zahid Hamidi diberi DNAA yang menimbul pelbagai kontroversi yang kini dibalas dengan pelantikan sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan dalam jangkamasa sebulan amat-amat mengecewakan,” katanya.

Peguam itu berkata, pelantikan itu menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi institusi sebaliknya masih kekal menggunakan jawatan-jawatan GLC sebagai bidak dalam percaturan untuk kekal berkuasa.

“Jangan salahkan rakyat bila berfikiran bahawa undang-undang hanya memihak kepada yang berpangkat, berharta dan berkuasa.

“Jangan pula salahkan rakyat bila pelantikan ini dikira sebagai balasan kepada DNAA tempoh hari,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp