TERKINI

Dakwaan Tun M mengenai masyarakat India tak bertanggungjawab, kata Anwar

Anwar Ibrahim (kiri), Mahathir Mohamad (kanan) – foto Awani

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2024 – Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai masyarakat India di negara ini sebagai tidak relevan.

Perdana Menteri itu berkata, dakwaan Tun Dr. Mahathir bahawa orang India tidak setia sepenuhnya kepada negara juga sebagai tidak bertanggungjawab.

“Itu dakwaan yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi Dr. Mahathir bekas Perdana Menteri yang lama mentadbir Malaysia

“Malah, beliau sememangnya terkenal dengan kenyataan berunsur perkauman sebegitu.

“Saya tidak anggap kenyataannya itu relevan. Itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada seorang mantan Perdana Menteri sekian lama, kemudian menghina mana-mana kaum, sama ada majoriti, minoriti,” katanya yang dipetik dari AstroAwani, hari ini.

Anwar berkata, Dr. Mahathir sememangnya terkenal dengan sifat perkaumannya seperti menuduh orang Melayu malas, melainkan dia.

“Dia juga menuduh orang India dan Cina itu dianggap kurang setia, melainkan beberapa kroni dia.

“Saya fikir kenyataan dia itu kita bantah keras, sangat tidak bertanggungjawab. Bagi saya, semua rakyat yang setia, harus kita hormati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
Majlis Peluncuran ‘Program Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat’ di Serdang, pada Selasa.

Dr. Mahathir sebelum ini dilapor mendakwa, masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Tambah Anwar lagi, dakwaan Dr. Mahathir itu juga sebagai cubaan untuk mengalih pandangan terhadap kesungguhan kerajaan membanteras rasuah, usaha mendigitalkan Malaysia dan inisiatif peralihan tenaga. – Astro Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp