TERKINI

DAP Sarawak Puji Tindakan Tiong di KLIA

Alan Ling – gambar malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2023 – Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling, memuji tindakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing atas tindakannya ke kaunter Imigresen di KLIA baru-baru ini.

Menurut Alan Ling beliau percaya Tiong tiada agenda peribadi dalam memeriksa aduan yang dibuat seorang pelancong dari China tersebut.

“Setiap menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlu selalu turun padang – walau tanpa makluman awal – agar mereka boleh lihat keadaan sebenar.

“Jangan rancang lawatan rasmi di mana semua ditunjukkan dengan baik, maka lawatan anda hanyalah formaliti,” katanya seperti dipetik Borneo Post.

Pada Sabtu lalu, Tiong melepasi kaunter Imigresen di KLIA selepas menerima aduan daripada seorang warga China dilarang masuk.

Tiong berkata individu itu memiliki dokumen perjalanan yang lengkap dan mendakwa tindakannya itu telah mendedahkan amalan rasuah segelintir pegawai di pintu masuk negara.

Warga China itu kemudiannya dibenarkan masuk ekoran campur tangan Tiong.

Sementara itu, Ling yang juga senator menggesa pegawai Imigresen untuk sentiasa bersikap profesional dan berbudi bahasa ketika berurusan dengan pelancong asing kerana mereka lazimnya merupakan warga Malaysia pertama yang ditemui mereka.

Dia juga menggesa agar Kementerian Dalam Negeri memastikan prosedur operasi standard dilaksanakan berkenaan perkara itu.

“Jabatan Imigresen sepatutnya menerima pendedahan menteri secara terbuka dan menilai diri sendiri…

“Mereka (pegawai Imigresen) perlu membuat penambah baikan agar Jabatan Imigresen dapat menjadi organisasi kerajaan kelas dunia yang dihormati semua,” katanya lagi. – malayasiakini

Facebook
Twitter
WhatsApp