TERKINI

Datuk Razali, pemimpin PN kedua didakwa bawah Akta Hasutan

Razali Idris – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Nov 2023 – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan berbaur hasutan iaitu menghina keputusan mahkamah serta memfitnah kerajaan.

Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berusia 57 tahun itu didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan antara lain bahawa kerajaan mengawal institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Menurut pertuduhan, beliau yang juga Exco Terengganu turut mempersoal keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut pertuduhan, petikan ucapan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu dikongsikan dalam aplikasi Tiktok oleh @wancin11.

ADUN berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di antara 9.30 malam dan 11.30 malam pada 10 November lalu di Padang Astaka di Chukai, Kemaman semasa pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) untuk PRK Kemaman.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran sehingga kes selesai. Bagaimanapun peguam Hasshahari Johari Mawi memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik, ” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Razali diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain turut menetapkan syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 8 Disember ini ditetapkan sebutan kes. Sebelum ini, media melaporkan Razali memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan yang dipercayai palsu terhadap SPRM dalam ceramah pilihan raya.

Pada 15 November lalu, SPRM membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali. SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera PRK Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.

Beliau adalah pemimpin PN kedua yang didakwa menghasut selepas Menteri Kedah Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengaku tidak bersalah pada Julai lalu atas dua pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap institusi diraja. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp