TERKINI

Demokrasi Politik Tiada Makna Tanpa Demokrasi Ekonomi – Prof Madya Dr Azeem

Azeem Fazwan Ahmad Farouk – foto malayadaily.com

PULAU PINANG, 10 Julai 2023 – Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk menyifatkan bahawa demokrasi politik tidak akan ada makna sekiranya demokrasi ekonomi tidak diberikan perhatian.

Dalam satu temuramah baru-baru ini, beliau berkata bahawa kuasa ekonomi itu akan menentukan kuasa politik.

“Kita bercakap mengenai demokrasi ‘political democracy’, tetapi kita tak bercakap tentang demokrasi ekonomi.

Menurutnya, dalam konteks demokrasi politik, kita boleh memilih pemimpin tetapi kita tak boleh memilih majikan, kita tidak boleh berunding dengan majikan untuk mengatakan kepada majikan ini gajinya yang sepatutnya dibayar.

“Mana lebih penting? kelangsungan hidup bukannya ditentukan oleh politik demokrasi tetapi oleh ekonomi. Sekiranya kita tidak mengawal ekonomi, kita tidak mempunyai kuasa ekonomi (maka) kuasa politik tidak bererti.

“Kuasa ekonomi itu yang boleh menentukan kuasa politik. Katanya.

Azeem yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia juga berkata bahawa kuasa ekonomi dikawal oleh kelompok elit yang kecil, (mereka) yang menentukan hala tuju kuasa politik.

“Jadi demokrasi ini seringkali diwar-warkan, dikatakan satu sistem demokrasi, satu sistem pemerintahan yang hebat, kita perlu melaksanakan sistem demokrasi secara total, tapi apa erti demokrasi sekiranya kita tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan hala tuju kehidupan kita.

“Kelangsungan kehidupan kita bergantung kepada pekerjaan kita yang mana kita tidak boleh kawal secara mutlak.

“Ianya ditentukan oleh banyak faktor, pendidikan kita, keluarga mana kita datang, ada banyak faktor yang menentukan bidang apa yang kita ceburi, keupayaan ekonomi keluarga samada boleh menghantar anak belajar ke institusi pengajian tinggi atau pun tidak dan ini saya rasa saling berkait diantara ekonomi dan juga politik tetapi kita tidak ada kuasa ekonomi, kita hanya memberi tumpuan kepada kuasa politik.

“Itulah yang terjadi dalam negara kita. Kita terlalu taksub dengan politik sehingga kita terlupa bahawa ada satu lagi perkara yang penting untuk menentukan kelangsungan hidup kita iaitu sektor ekonomi.

“Saya rasa disitulah kita ketinggalan sebenarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp