TERKINI

Dewan Rakyat : Lafaz Rukun Negara setiap sesi pembukaan penggal, Speaker

Gambar hiasan – foto portal berita RTM

KUALA LUMPUR, 29 Nov 2023 – Lafaz Rukun Negara akan dilaksanakan bagi setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurutnya, lafaz tersebut dibuat pada hari kedua mesyuarat pertama pada setiap penggal Parlimen.

“Saya telah menerima permohonan daripada Yang Berhormat Menteri Perpaduan mengenai cadangan supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti dengan lima prinsip di dalam Dewan Rakyat.

“Saya membawa cadangan ini kepada Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia dan juga Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat untuk dipertimbangkan dan kedua-dua Jawatankuasa ini bersetuju untuk melaksanakan lafaz Rukun Negara ini di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya memahsyurkan agar lafaz Rukun Negara ini dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama pada setiap penggal parlimen,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana ahli Dewan Rakyat yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan agar melakukannya dengan segera.

Katanya, nama mereka yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan akan dipaparkan pada 1 Disember 2023.

“Setakat ini, seramai 213 orang ahli Dewan Rakyat dan enam Senator ahli pentadbiran telah menjalani pemeriksaan kesihatan. Saya ucapkan tahniah kepada semua. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp