KUALA LUMPUR, 22 Sept 2023 – Kebebasan bersuara di zaman pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhad kepada hanya kenyataan yang menyokong kerajaan, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, sedangkan semasa di luar kerajaan, Anwar adalah pemimpin lantang menuntut hak rakyat untuk bersuara disamping kebebasan media cetak.
“Sekarang kebebasan bersuara terhad kepada menyokong kerajaan, di masa ini, kenyataan yang benar dari segi sejarah dianggap oleh media cetak sebagai hasutan,” kata bekas ahli Parlimen Langkawi itu.
Dakwanya, rakyat kini disekat daripada bersuara dengan larangan tersebut dikaitkan dengan isu membabitkan raja, agama, dan bangsa atau dikenali sebagai 3R.
“Dengan larangan 3R, mulut rakyat tertutup, dahulu semasa PMX (perdana menteri ke-10) berada di luar kerajaan, laungan reformasi dijerit-jerit.
“Di antara reformasi yang dituntut ialah kebebasan bersuara dan kebebasan media cetak,” kata Mahathir.
Mahathir sendiri sudah sembilan kali disiasat pihak polis, dengan sebahagian daripada siasatan tersebut adalah berkaitan isu 3R. – malayadaily.com