TERKINI

PM bukan Melayu : Agong berkuasa lantik jika yakin PM patuhi perlembagaan

Haniff Khatri (kanan), Lim Kit Siang (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 16 Dis 2023 – Peguam, Haniff Khatri berkata, satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi Perdana Menteri ialah orang itu menjadi Ahli Dewan Rakyat dan merupakan rakyat Malaysia secara operasi undang-undang, yang, dalam hemat Yang di-Pertuan Agong, mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun menurut Haniff, pelantikan Perdana Menteri adalah budi bicara mutlak ke bawah Duli yang di-Pertuan Agong.

“Perkara 40 fasal 2(A) yang menyenaraikan apakah dia kuasa-kuasa ke bawah Duli yang di-Pertuan Agong di atas budi bicara mutlak tanpa mengambil nasihat sesiapa, dinyatakan di peranggan A di sana.

“Kalau baginda Tuanku pun yakin pada hemat baginda Tuanku bahawa tidak ada kepercayaan, bahawa peruntukan-peruntukan khusus di dalam perlembagaan berkaitan dengan agama Islam, mahupun bahasa Melayu, mahupun keistimewaan orang Melayu, dan kedudukan Raja-Raja, akan dipelihara oleh individu berkenaan, maka baginda Tuanku boleh mengambil kira faktor-faktor itu untuk tidak melantik.

“..Ini tidak bermakna saya mengatakan bahawa seorang bukan Islam bukan Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri, tidak ada halangan tetapi sebab yang melantiknya, sewajibnya di bawah perlembagaan adalah baginda tuanku yang di-Pertuan Agong, maka tidak ada halangan baginda Tuanku mengambil kira faktor-faktor lain yang perlu sebagai seorang rakyat Malaysia. Ujarnya dalam satu rakaman video bersama malayadaily.

Haniff juga percaya, apa yang rakyat perlukan adalah apabila seorang Perdana Menteri itu dilantik sebagai Perdana Menteri, rakyat perlu yakin bahawa Perdana Menteri itu mempunyai semangat patriotisme, semangat nasionalisme dan pematuhan kepada unsur unsur intipati Perlembagaan Persekutuan yang mutlak yakni Perdana Menteri itu mempunyai penggunaan dan fasih dalam penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu barulah ia menjadi rakyat Malaysia.

“Yang keduanya dia perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang ketiganya dia juga perlu menghormati keperluan keistimewaan orang Melayu dan perlindungan seperti mana yang diperuntukkan di bawah perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja.

“Itu yang saya percaya rakyat majoriti hendak lihat adakah kita mempunyai pemimpin politik bukan Islam bukan Melayu yang mengisi dan memenuhi faktor-faktor tersebut. Katanya.

Haniff turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya rakyat Malaysia walau apa agama, bangsa ataupun bahasa sekalipun, perlulah menitikberatkan semangat patriotisme dengan menghalusi, mengambil kira penggunaan bahasa Melayu dan hormat kepada faktor-faktor lain yang kita sentuh secara suci hati, secara ikhlas dan jujur.

“Bagi saya amat penting sepertimana contoh banyak diambil di beberapa negara lain, terdapat orang orang keturunan bukan bangsa negara itu menjadi Perdana Menteri contohnya Obama di Amerika Syarikat, Thaksin di Thailand, Aquino di Filipina dan baru-baru ini di England, di mana Perdana Menteri berketurunan India dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Tapi adakah kita teliti keempat-empat dan ramai lagi pemimpin lain yang menjadi Perdana Menteri ataupun ketua kerajaan di negara negara sebenar-benarnya mempunyai identiti negara itu hampir 100%. Ujarnya.

Baru-baru ini, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dilaporkan telah menyentuh isu berkaitan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri boleh menimbulkan keresahan kepada orang Melayu.

Susulan kenyataan kontroversi tersebut, Lim Kit Siang tampil memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp