TERKINI

Dong Zong langgar kontrak sosial – Putra

Shahrulutfi Sharif – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 24 – Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil parti Putra yang mendakwa Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah melanggar kontrak sosial berhubung penolakan persatuan tersebut mengenai inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Putra, Shahrulutfi Sharif berhujah mengenai hal tersebut berkata, memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan membantu meningkatkan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

“Setiap rakyat Malaysia berhak untuk memahami dan menghayati budaya serta bahasa kebangsaan negara.

“Bahasa Melayu penting untuk mengukuhkan identiti dan rasa kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, adalah wajib untuk memahami dan fasih dalam bahasa kebangsaan negara agar dapat menghayati roh dan semangat Perlembagaan negara. Tegasnya.

Tambah beliau, Putra berharap agar pihak polis akan memandang serius laporan ini dan menjalankan siasatan yang sewajarnya, memandangkan ia melibatkan pelanggaran terhadap tiga prinsip utama Perlembagaan Negara, iaitu Fasal 151, 152, dan 153.

Baru-baru ini, Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata penolakan itu adalah kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan Bahasa Melayu.

Lek Aee yang dipetik oleh merdeka times berkata, Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua pelajar terbabit, maka Bahasa Melayu tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp