TERKINI

Dunia dan Akhirat Perlu Selari, Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2023 – Umat Islam seharusnya perlu menjalani kehidupan seiring antara keperluan ibadah dan kepentingan hidup di dunia ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, umat Islam hari ini lebih mengutamakan ilmu fardu ain untuk kehidupan di akhirat tetapi tiada pembelajaran diberikan berkenaan Islam sebagai gaya hidup.

“Saya berpandangan Muslim perlu mengutamakan dunia sebagaimana kita utamakan kehidupan seterusnya di akhirat. Tetapi ini tidak diajarkan oleh pembelajaran Islam di negara-negara Islam.

“Termasuk di Malaysia, di mana kami mengajarkan agama Islam di sekolah, tetapi pembelajaran lebih kepada ilmu fardu ain dan kehidupan seterusnya.

“Bagaimana dengan kehidupan di dunia ini, tiada pelajaran tentang karakter seorang Islam, Islam sebagai cara hidup,” kata Mahathir, ketika pertemuan bersama ilmuan dan usahawan Islam di London, baru-baru ini.

Disebabkan kurangnya kefahaman tentang Islam, banyak negara-negara Islam hari ini ditekan oleh kuasa dunia dan melakukan perkara yang dilarang Islam.

“Kita berlawan dan berbunuhan sesama sendiri, kita memerangi antara satu sama lain, sedangkan itu perbuatan yang salah dan tidak selari dengan ajaran Al-Quran.

“Saya merasakan jika kita mengikuti ajaran Al-Quran kita mampu berjaya dalam semua bidang termasuk pendidikan dan sains.

“Dengan cara itu kita mampu mempertahankan diri, dan agama dengan lebih efektif tetapi pada masa ini Islam kita abaikan,” kata Mahathir.

Disebabkan itu, umat Islam terpaksa membayar dengan harga yang mahal dengan menyaksikan ramai umat Islam menjadi mangsa tekanan orang bukan Islam.

Malah, umat Islam yang berhadapan tekanan juga lari ke negara Eropah, yang dikatakan mempunyai kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

Sedangkan Al Quran katanya menyeru umat Islam untuk bersedia mempertahankan agama.

“Sebab itu kita bergantung kepada orang lain dan disebabkan itu juga apa sahaja keperluan kita, kita tidak mencapai objektif Islam iaitu setiap Muslim adalah bersaudara.

“Tetapi sekarang kita tidak bersaudara sebaliknya kita musuh antara satu sama lain, dan kita digunakan untuk memusuhi dan melawan orang Islam yang lain,” kata Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp