TERKINI

Erdogan Nyata Hasrat Pada Tun Mahathir, Mahu Anjur Sidang Kemuncak Istanbul

Tun Dr Mahathir Mohamad Dan Recep Tayyip Erdogan – foto twitter chedetofficial

KUALA LUMPUR, 22 jUN 2023 – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyatakan hasrat untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Istanbul tahun ini, selepas Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 2019 membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Erdogan menyuarakan hasrat itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan mereka di Kompleks Presiden di Ankara, Turkiye, baru-baru ini.

Erdogan melihat Sidang Kemuncak Istanbul itu dapat berpotensi menyemarakkan lagi dapatan daripada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dimulakan Mahathir sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Mahathir melalui media sosialnya, semalam.

“Presiden Erdogan kemudian mencadangkan Sidang Kemuncak Istanbul diadakan antara September atau Oktober tahun ini,” kata Mahathir.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, Erdogan juga meminta Mahathir dan pasukan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur untuk bekerjasama bersama kumpulan dari Turkiye untuk menjayakan hasrat tersebut.

Pertemuan itu turut melibatkan perbincangan berkenaan nasib umat Islam keperluan membantu umat Islam dan negara Islam yang menghadapi kesukaran dan peperangan.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Eminem Erdogan.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dianjurkan pentadbiran Mahathir sebagai perdana menteri pada 2019 mengetengahkan isu berkaitan hal ehwal umat dan negara Islam.

Sesi bertukar perbincangan dan pandangan di berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepanjang tempoh persidangan selama empat hari.

Selain Erdogan, antara tokoh dunia Islam yang menyertainya waktu itu adalah Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Dianggarkan 450 wakil dari 56 negara Islam terdiri daripada pemimpin negara, pemikir, cendekiawan, ahli politik dan pemimpin masyarakat, hadir sidang kemuncak itu.

Ia turut membahaskan isu seperti kebangkitan Islamophobia, penahanan umat Islam di seluruh dunia dan penghijrahan besar-besaran umat akibat perang saudara.

Selain Pakistan, empat lagi negara perintis persidangan yang masuk edisi kelima waktu itu adalah Malaysia, Indonesia, Turkiye dan Qatar. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp