TERKINI

Fenomena Cuaca Panas : Kelantan Catat Enam Kes Kesihatan Terjejas Panas Melampau

Grafik hiasan – malayadaily.com

KOTA BHARU, 18 Mei 2023 – Kelantan menjadi negeri tertinggi yang merekodkan kes kesihatan rakyat terjejas akibat cuaca panas melampau dengan enam kes setakat minggu epidemiologi (ME) ke-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, kes-kes termasuk satu kematian kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun akibat strok haba manakala selebihnya kerana kelesuan dan kekejangan haba.

“Kelantan tertinggi kes diikuti Sarawak (5) dan Sabah (3). Terbaharu, kes di negeri ini membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun yang mengalami kelesuan haba.

“Kesemua mereka dirawat di hospital dan dimasukkan drip air bagi memulihkan kesan dehidrasi,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan negeri belum membuat apa-apa keputusan berkaitan cadangan proses pembenihan awan ketika cuaca panas ketika ini.

“Keadaan cuaca di Kelantan mencecah sekitar 35 sehingga 38 darjah celsius dan tidak pernah dialami sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak sekolah supaya memberi perhatian lebih kepada aktiviti pelajar di luar kelas.

“Begitu juga mereka yang bekerja di lapangan terutama buruh dan pasukan beruniform yang memakai baju tebal supaya berwaspada. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp