TERKINI

Wajarkah Diberi Masa Kepada CEO Yang Gagal?

Lim Kit Siang – foto Utusan

Tan Sri Lim Kit Siang menyeru rakyat untuk memberikan masa kepada perdana menteri untuk pulihkan ekonomi negara sewaktu di Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah baru-baru ini.

Hampir 10 bulan berlalu, kehidupan rakyat masih tidak memuaskan. Harga barangan semakin meningkat, kuasa beli rakyat semakin menyusut. Matawang Ringgit amat lemah.

Jika hendak disalahkan ekonomi dunia, matawang negara-negara jiran sekeliling kita seperti Indonesia dan Thailand malah sehingga ke Vietnam agak sama rata jatuhnya berbanding Malaysia yang lebih teruk nilai susutnya.

Ini jelas menggambarkan pengurusan ekonomi negara tidak cekap. Mangsanya tetap rakyat, kerana negara bergantung kepada import untuk sebahagian besar barangan keperluan dan makanan negara.

Kerajaan Madani juga mempunyai sikap tidak mengotakan kata.

Dahulu, mereka melaungkan kebebasan bersuara, mengkritik setiap tindakan yang dibuat kerajaan memerintah. Kini media semua di sekat, tidak boleh mengkritik kerajaan dan pemimpin. Sehingga ke tahap mengugut hendak menghantar kereta polis ke hadapan rumah.

Dahulu mereka menjerit-jerit menentang rasuah. Setiap skandal salah guna kuasa dan rasuah hendak dibongkar. Contohnya, isu kehilangan kapal LCS di bongkar dan jerit di merata tempat dalam setiap ucapan. Kini, kapal dah tentu hilang, isu kehilangan LCS tu sendiri pun hilang juga.

Dahulu, menjerit-jerit memberi tahu rakyat jangan memilih pemimpin yang sedang di hadapi pendakwaan di mahkamah dengan 47 kes rasuah. Malah dicipta sebuah lagu khusus “Hoi Hoi Ya Hoi, Siapa Sokong Penyamun”, dinyanyikan di setiap pentas sebelum ucapan berkempen.

Sekarang Pendakwa Raya kerajaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan dan hasilnya pemimpin yang didakwa rasuah dilepaskan.

Kita harus ingat, yang melantik pentadbir negara ialah rakyat sendiri.

Analoginya, jika kita sebagai Lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat, melantik seorang CEO dan barisan pengurus untuk mentabir syarikat supaya mencapai kejayaan dan membahagiakan pemegang-pemegang saham.

Tetapi CEO tersebut tidak berapa cemerlang dan kelihatan akan mengakibatkan syarikat menjunam kepada kegagalan hasil tindakan dan keputusan yang dibuat, CEO itu pula memohon minta di beri masa untuk membuktikan kebolehannya dan dalam keadaan yang sama membuat satu lagi keputusan yang tidak menyenangkan hati ahli lembaga pengarah dan pemegang-pemegang saham.

Adakah wajar di biarkan CEO tersebut terus mengendali syarikat tersebut?

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp