TERKINI

Keluarkan Peta Sempadan Maritim Malaysia, Nafikan Tuntutan China – Prof Murad

Ahmad Murad Merican – foto Malaysia Gezette

PUTRAJAYA, 22 Sept 2023 – Malaysia wajar mengeluarkan peta baharu sebagai pengukuhan dan peringatan kepada wilayah geografi serta kedaulatannya termasuk menggunakan garis sempadan maritim dalam menafikan tuntutan China.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, peta adalah alat dan senjata sejarah serta diplomasi sesebuah negara.

Katanya, kuasa penjajah, empayar dan negara-negara bangsa dalam perjalanan sejarah manusia telah menggunakan peta sebagai tanda kekuasaan, kekuatan serta takluk.

“Dalam hal peluasan peta China, hingga ke wilayah maritim Malaysia, negara juga boleh menggunakan garisan sempadan maritim dalam menafikan tuntutan China garisan Nine Dash Line atau `Sembilan Garis Putus’ yang merentasi Laut China selatan.

“Begitu juga dengan nama-nama lautan dan Laut Malaysia perlu berani menuntut beberapa nama awal bagi beberapa wilayah yang kini dinamakan Laut China Selatan,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini memetik pandangan pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli bahawa Malaysia harus mengeluarkan peta terbaharu yang menunjukkan dengan jelas wilayah maritim negara di Laut China Selatan setelah kali terakhir dibuat pada 1979.

Mohd. Hazmi berkata, tindakan China mengeluarkan Peta Standard Edisi 2023 menuntut langkah segera kerajaan termasuk agensi di bawahnya mengeluarkan peta terkini Malaysia yang menunjukkan persempadanan terkini negara termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak.

Isu Laut China Selatan sebelum ini kembali diperbincangkan setelah Kementerian Sumber Asli China mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai sebahagian wilayah negara itu.

Ahmad Murad berkata, Malaysia mesti agresif menggunakan peta bagi menegaskan kedudukan wilayah sempadannya lalu mengisytiharkan kedaulatannya berulang kali kepada masyarakat antarabangsa.

Katanya, peta digunakan sebagai alat geopolitik bagi tindakan tuntutan dan pemilikan tanah dan wilayah dan ia dapat dilihat dalam sejarah terutama tanah Melayu serta Siam.

Menurut beliau, Nine Dash Line, yang pada asalnya dinyatakan dalam peta China 1947 adalah wilayah maritim yang dituntutnya sebagai sebahagian dari wilayah negara itu.

“Ia tidak ada ‘asas perundangan’ menurut The permanent Court of Arbitration di The Hague. China menganggap keputusan itu sebagai menafikan keabsahan wilayah China.

“Berdekad lamanya, sekolah-sekolah di negeri China diajar bahawa sempadan paling jauh tanah ibunda mereka terletak kira-kira 50 batu nautika dari pantai Malaysia, dalam perairan pelantar minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, ia dapat ditafsirkan bahawa Nine Dash Line itu merupakan sempadan di mana kedaulatan Malaysia dan China bertembung.

Jelasnya, konsep dan amalan China itu tidak selari dengan undang-undang antarabangsa.

“Bukan hanya melibatkan Malaysia, Nine Dash Line juga melibatkan sempadan maritim Filipina, Indonesia dan Vietnam, ini konsep sempadan maritim yang dituntut oleh China.

“Orang yang mula-mula menggariskan Nine Dash Line itu ialah Yang Huairen, ahli geografi dan Chinese Academy of Sciences. Dalam peta China, hampir 90 peratus Laut China Selatan itu dianggap sebagai sebahagian dari China,” katanya. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp