TERKINI

Mat Sabu tak galak guna baja tinja ayam dalam sektor pertanian

Mohamad Sabu di Majlis Penutup Hari Keusahawanan dan Kurikulum di Maahad Al-Ehya Assharif – foto Facebook Mohamad Sabu

BAGAN SERAI, 13 Dis 2023 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak menggalakkan penggunaan baja tinja ayam, walaupun tiada sebarang peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian itu yang menghalang penggunaan baja berkenaan secara meluas dalam sektor pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hal ini kerana baja itu menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai kerana berbau busuk dan berpotensi menyebabkan kelecuran sekiranya bersentuhan dengan tanaman.

“Penggunaan baja tinja ayam juga boleh menyebabkan jangkitan penyakit kepada manusia,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Hari Keusahawanan dan Kurikulum di Maahad Al-Ehya Assharif Gunung Semanggol di sini malam tadi, yang turut dihadiri lebih 300 tetamu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan dibuat peniaga gerai makanan di sekitar Parit Haji Aman dan Parit Haji Tahir di sini berkenaan kacau ganggu lalat dan pencemaran bau ekoran penggunaan tinja ayam di sebuah kebun sayur yang diusahakan etnik Rohingya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp