TERKINI

Forum Nikkei: Laut China Selatan, China akan sedar tuntutan itu tiada makna apa-apa – Mahathir

Mahathir Mohamad dalam forum Nikkei Asia – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 26 Mei 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pertikaian mengenai tuntutan China terhadap Laut China Selatan tidak mengandungi apa-apa makna, apatah lagi China tidak melakukan apa-apa gangguan terhadap laluan dan kapal-kapal yang melalui kawasan tersebut.

Bercakap dalam forum Nikkei Asia baru-baru ini, Mahathir berkata, sekalipun kepimpinan China kali ini dilihat lebih agresif termasuk membabitkan tuntutan wilayah Laut China Selatan, namun hingga kini mereka tidak menghalang kapal melaui laut China Selatan malah aktiviti petroleum Malaysia di kawasan itu tidak menghadapi masalah.

“China hari ini kelihatan sangat agresif tetapi untuk Malaysia sebagai contoh, ya okey mereka mendakwa Laut China Selatan adalah milik mereka, tetapi mereka tidak menghalang kapal dari melalui Laut China Selatan, mereka tidak memeriksa kapal.

“Kita mempunyai pengeluaran minyak di Laut Cina Selatan, setakat ini mereka tidak melakukan apa-apa (gangguan).

“Ya, anda boleh menuntut (Laut China Selatan), kami tidak menerima tuntutan anda, tetapi kami tidak perlu berperang melawan anda kerana tuntutan anda itu, mungkin suatu hari nanti mereka akan menyedari bahawa tuntutan itu tidak bermakna apa-apa. Ujar Mahathir.

Ketika ditanya mengenai persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS), Mahathir menyifatkan perubahan kepimpinan di China telah menghasilkan kejayaan dengan jangka masa yang sangat pantas.

Xi Jinping dilihat lebih radikal dan bercita-cita tinggi berbanding pemimpin terdahulu seperti Mao Zedong.

“China secara praktikalnya telah mengamalkan sistem yang sama yang mereka temui di negara-negara yang telah membangun jauh lebih pantas daripada mereka dan mereka menunjukkan prestasi yang baik.

“Apabila mereka berjaya sudah tentu China menjadi sebuah negara yang sangat kuat dengan populasi yang sangat besar, dengan populasi itu ia menyediakan pasaran domestik yang besar kepada China dan kerana itu China telah membangun lebih pantas dalam masa kira-kira 30 tahun atau 40 tahun.

Beliau menambah bahawa China telah berubah sepenuhnya daripada pengasingan di zaman Mao Zedong dan kini dunia harus mengakui China tidak akan menjadi seperti China Mao Zedong selama-lamanya, ia akan berubah.

“Malah kepimpinan hari ini, saya fikir apabila dia digantikan oleh pemimpin lain, akan ada perubahan, sama ada perubahan itu akan menjadi lebih baik atau lebih buruk itu adalah sesuatu yang kita tidak boleh katakan, tetapi perubahan berlaku di setiap negara bergantung kepada kepimpinan. Ujar Mahathir.

Forum bertajuk ‘Future of Asia’ anjuran Nikei Asia merupakan forum antarabangsa yang diadakan setiap tahun, yang menghimpun pemain dan pemimpin Asia dalam membincangkan isu-isu ekonomi dan politik antarabangsa. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp