TERKINI

‘Freedom for Palestine’ : Khairuddin Tempelak, Dr Nordin Mohon Maaf

Khairuddin Abu Hassan (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 24 Okt 2023 – Pengerusi Mobilisasi Prokralamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menempelak Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkaitan insiden yang berlaku di perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, dengan menyifatkan program itu sekadar melepas batuk di tangga dan hanya sebagai satu pertunjukan sokongan yang tidak ikhlas pada Palestin.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin mempersoalkan tindakan Musa yang melarang penggunaan sepanduk yang mengecam Presiden Israel, Benjamin Nentayahu.

“Apakah Dr Musa Mohd Nordin menaruh harapan agar semua yang turun ke Himpunan ‘Freedom For Palestine’ untuk membawa sepanduk-sepanduk yang memuji serta memuja Zionis?

“Apakah dengan laungan ‘Allahu Akhbar’ membawa maksud kita tidak menghormati kaum atau agama lain?

“Apakah kalimah laungan ‘Allahu Akhbar’ satu kalimah yang biadab serta berunsur provokasi?, ujar Khairuddin.

Menurut Khairuddin, buat apa adakan Himpunan protes sekiranya sepanduk untuk menzahirkan perasaan tidak puas hati pada pemimpin Zionis tidak dibenarkan?

“Rakyat Malaysia turun ke padang atas dasar hendak tunjuk protes dan luahkan perasaan tidak puas hati pada kezaliman Zionis.

“Himpunan ini dianjurkan secara tidak ikhlas hanya untuk tujuan pertunjukan pada rakyat semata-mata bagi mengimbangi populariti kenyataan-kenyataan dan kritikan-kritikan keras Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Zionis bersama kuncu-kuncu mereka. Katanya.

Sebelum ini tular di media sosial luahan kekecewaan terhadap penganjuran himpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Ahad ekoran segelintir peserta didakwa disamakan seperti rejim Zionis.

Ketika perhimpunan, segelintir peserta antaranya membawa plakad memaparkan wajah Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.

Namun demikian, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin membuat permohonan maaf atas beberapa insiden yang berlaku sepanjang penganjuran perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka.

Dr. Musa menerusi ciapan di aplikasi X berkata, peraturan yang diambil pihak penganjur adalah selaras dengan arahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM kami memohon maaf atas segala kekurangan,” katanya hari ini.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp