
BENTONG, 25 Mac 25 – Timbalan Presiden BERSATU, Dato Seri Hamzah Zainudin menyatakan keyakinan bahawa tiga parti Melayu yang utama boleh membentuk kerajaan sekiranya UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan BERSATU dan PAS.
Menurut beliau, sekiranya UMNO bersedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), gabungan tersebut mampu memperoleh sokongan mencukupi bagi menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergantung kepada pihak lain.
“Memang betul. Kalau hari ini pemimpin UMNO benar-benar terbuka, mereka boleh bergabung dengan kita dan membentuk kerajaan.
“Pada PRU15 lalu, kita sudah ada 104 kerusi, hanya memerlukan lapan lagi untuk mendapat majoriti. Tetapi UMNO lebih memilih untuk bersama dengan Anwar Ibrahim kerana merasakan lebih menguntungkan mereka ketika itu. Sebab itu mereka tidak sanggup bekerjasama dengan kita.
“Namun, jika UMNO sedia berunding, tidak ada salahnya untuk duduk semeja dan membincangkan masa depan negara yang lebih baik. Kita mahukan negara yang harmoni, bukan perpecahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Janda Baik, semalam.
Baru-baru ini, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis dilaporkan berkata, kerjasama tiga parti Melayu iaitu UMNO, Bersatu dan Pas mampunmenumbangkan Kerajaan Perpaduan pada PRU16 sekiranya tiga parti tersebut memilih untuk bergabung. – Utusan.