TERKINI

Gaji Progresif : Pembentangan Pertama Kepada MTEN Ogos Ini – Rafizi

Rafizi Ramli – foto The Sun Daily

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2023 – Dasar berkaitan gaji progresif akan dibentangkan untuk kali pertama kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos depan.

Selain itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ketika ini perbincangan mengenai dasar tersebut hanya akan diadakan di peringkat agensi kerajaan sebelum melibatkan pihak industri.

“Mengikut jadual, pembentangan kali pertama rangka asas gaji progresif adalah pada bulan Ogos dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Dalam tempoh dua bulan ini perbincangan dan libat urus dari pakar dan ahli akademik akan berjalan.

“Kita akui jangka masanya singkat. Oleh yang demikian kerajaan tidak boleh bertemu dengan industri tanpa ada parameter yang jelas berkaitan perkara yang kerajaan boleh tawarkan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023 dan Aplikasi Belanjawanku di Shah Alam, pada Selasa.

Rafizi menjelaskan bahawa sasaran nisbah kadar upah kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepatutnya pada tahap 38 peratus.

Ini bermakna, bagi setiap RM1,000 yang diraih oleh ekonomi negara, RM380 seharusnya dibayar dalam bentuk gaji kepada pekerja. Ketika ini, Malaysia hanya menggunakan tiga peratus daripada KDNK untuk membayar upah pekerja.

Beliau juga menjelaskan pembangunan infrastruktur data termasuk Pusat Data Bersepadu dijangka siap sepenuhnya dan sedia beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, dengan kesediaan data granular ini akan membantu kerajaan untuk melaksanakan dasar berkaitan gaji progresif dan pemberian subsidi secara berasar yang lebih berkesan. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp