KUALA LUMPUR, 18 Jan 25 – Sebuah badan bukan kerajaan, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Tun Mahathir Mohamad mengenai peruntukan yang telah disalurkan kepada kerajaan Johor untuk membina loji penapisan air, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan, hari ini, Presiden GEM, Armin Baniaz Pahamin berkata, penubuhan RCI ini bertujuan untuk menyiasat penggunaan dana tersebut.
“GEM menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penggunaan dana tersebut dan memastikan pembinaan loji rawatan air ini dapat dilaksanakan segera bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura.
“Johor sepatutnya sudah membina loji rawatan air sendiri seperti yang telah diperuntukkan sebelum tahun 2003. Namun, projek ini tidak diteruskan tanpa alasan yang jelas. Ujarnya.
Menerusi kenyataan yang sama, Armin juga menolak dakwaan Singapura bahawa Malaysia telah kehilangan hak untuk menyemak tarif pada tahun 1987.
“Pentafsiran Singapura bahawa semakan hanya boleh dilakukan pada tahun ke-25 adalah dangkal, tidak wajar dan hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri.
“Sebaliknya, perjanjian air 1961 dan 1962 dengan jelas menyatakan bahawa semakan tarif boleh dibuat selepas tempoh 25 tahun, memberikan hak kepada Malaysia untuk mengkaji semula syarat perjanjian pada bila-bila masa selepas tempoh tersebut. Tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memetik kenyataan Wisma Putra pada tahun 2019 telah dinyatakan bahawa Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura ketika itu, setelah bertemu dengan Tun Dr Mahathir pada tahun 2018 telah bersetuju untuk berunding mengenai tarif air tersebut.
“Ini bermakna Singapura menerima bahawa rundingan berkaitan tarif air tidak semestinya pada tahun 1987 tetapi boleh dibuat bila-bila masa selepas 25 tahun perjanjian itu dimeterai. Katanya.
Beliau turut mencadangkan agar isu ini dibawa ke peringkat antarabangsa melalui mahkamah atau timbang tara jika rundingan dengan Singapura gagal mencapai penyelesaian yang adil.
“Dalam masa yang sama, GEM menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik, untuk bersatu mempertahankan hak negara dan kedaulatan sumber air. Tambah beliau.
Terdahulu, Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persoalan mengapa loji penapisan air tidak dibina sungguhpun peruntukan tersebut telah diluluskan kepada kerajaan Johor sebelum beliau bersara pada 2003.
Dalam entrinya semalam, Mahathir menjelaskan bahawa antara jalan untuk menghentikan pembelian air bersih dari Singapura adalah dengan membina sendiri loji penapis air, namun sehingga kini projek tersebut tidak dilaksanakan.
“Sebelum saya letak jawatan pada 2003, peruntukan telah diberi kepada Johor untuk mendiri loji tapis air supaya Johor tidak perlu beli air dari Singapura.
“Jika ini dibangun soal kenaikan harga air tapis dari Singapura tidak timbul. Kata Mahathir. – malayadaily.com