TERKINI

Gencatan senjata di Gaza dilanjut dua hari, lebih ramai tebusan dibebaskan

Majed bin Mohammed Al Ansari – foto Anadolu Ajansi

KUALA LUMPUR, 28 Nov 2023 – Gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan dilanjutkan dua hari lagi, menurut Kementerian Luar Qatar.

Menerusi jurucakap kementerian berkenaan, Dr Majed bin Mohammed Al Ansari dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata: “Rundingan yang dibuat mencapai kata sepakat untuk melanjutkan gencatan senjata dua hari lagi di Semenanjung Gaza bagi tujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan.”

Serentak itu, pasukan pejuang Hamas yang turut mengesahkan berita terbaharu itu menyambut baik usaha melanjutkan gencatan senjata.

Dalam reaksi segera yang dikeluarkan melalui kenyataan media, pasukan pejuang dari Palestin itu berkata, lanjutan sementara yang dicapai itu masih mengekalkan syarat-syarat yang sama.
Qatar menjadi ‘orang tengah’ di antara Israel dan Hamas dalam mencapai kesepakatan itu.

Sebelum ini, gencatan senjata dilaksanakan pada Jumaat lalu dan berakhir pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, lanjutan gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang dirintis oleh kerajaan Qatar sebagai ‘orang tengah’ terus memberikan harapan terhadap pembebasan tebusan dan banduan oleh kedua-dua pihak bertelagah – Israel dan Hamas.

Sejak gencatan senjata pertama pada Jumaat lalu, pasukan pejuang Hamas dari Palestin sudah membebaskan 69 tebusan Israel yang dalam tawanan mereka sejak 7 Oktober lalu.

Dan semalam (Isnin), tentera Israel berkata, seramai 11 tebusannya sudah dibebaskan oleh Hamas pada detik penghujung gencatan senjata sementara (peringkat awal).

Kesemua 11 tebusan itu sudah pun berada di Israel dan diiring oleh Angkatan Tentera Israel (IDF) kembali ke tanah air.

Tebusan yang dibebaskan itu juga dibawa menjalani rawatan kesihatan sebaik tiba di Israel sebelum dibawa bertemu keluarga masing-masing, kata IDF.

Menurut kerajaan Qatar pula, kesemua tebusan yang dibebaskan itu termasuk mereka yang memiliki dua kewarganegaraan.

Sementara itu, Hamas berkata, pihaknya juga menerima 33 rakyat Palestin termasuk tiga banduan wanita yang dibebaskan dari penjara Israel sebagai balasan.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Hamas sudah membebaskan 69 tebusan sejak Jumaat lalu termasuk warga Israel dan lain-lain. – Awani/Agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp