TERKINI

Genosid Palestin: PBB senarai hitam Israel

PBB, Gambar hiasan – foto arkib

NEW YORK, 8 Jun 24 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menambah Israel dalam senarai hitam negara yang telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

Senarai hitam global berkenaan dimasukkan di dalam laporan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang akan diserahkan Guterres kepada Majlis Keselamatan PBB pada 14 Jun ini.

Ia meliputi enam pelanggaran iaitu membunuh dan mencacatkan, keganasan seksual, penculikan, pengambilan dan penggunaan kanak-kanak, penafian akses bantuan dan serangan ke atas sekolah dan hospital.

Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata keputusan itu akan memberi impak terhadap hubungan Israel dengan PBB.

Israel telah lama mempunyai hubungan perbalahan dengan PBB dan ia bertambah buruk semasa perang Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.

Laporan senarai hitam itu disusun oleh Virginia Gamba, wakil khas Guterres untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata.

Senarai yang dilampirkan pada laporan itu bertujuan untuk memalukan pihak yang berkonflik dengan harapan ia boleh mendorong mereka untuk melaksanakan langkah melindungi kanak-kanak.

Senarai itu dibahagikan kepada dua: pihak yang telah melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi kanak-kanak dan pihak yang tidak.

Israel telah dimasukkan dalam senarai pihak yang tidak melaksanakan langkah yang mencukupi untuk melindungi kanak-kanak.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Israel sepatutnya telah disenaraihitam sejak dahulu lagi.

Tindakan sebenarnya telah dilakukan sembilan tahun selepas utusan khas PBB untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata mengesyorkan Israel dan Hamas dimasukkan ke dalam senarai pelanggaran semasa perang 2014 di Gaza, apabila 540 kanak-kanak adalah antara lebih 2,100 rakyat Palestin yang terbunuh.

PBB berkata bulan lalu bahawa sekurang-kurangnya 7,797 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza yang dikenal pasti dari Kementerian Kesihatan Gaza, yang dianggap oleh PBB boleh dipercayai.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata secara keseluruhan kira-kira 15,500 kanak-kanak telah terbunuh.

Menurut Majlis Kebangsaan Kanak-Kanak Israel, 38 kanak-kanak terbunuh dalam serangan pada 7 Oktober dengan 42 daripada kira-kira 250 orang yang dijadikan tebusan Hamas ke Gaza adalah kanak-kanak. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp