TERKINI

Isu 3 Perkataan : “Kerajaan Perpaduan Kiblat Israel”, kata Marzuki

Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR, 24 Okt 2023 – Ketua Setiausaha Proklamasi Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menzahirkan kekecewaan terhadap larangan Speaker Dewan Rakyat kepada ahli-ahli Parlimen yang tidak dibenarkan menyebut perkataan ‘kafir’, ‘yahudi’ dan ‘zionis’ di dewan rakyat.

Beliau juga menyifatkan larangan itu sekaligus membuktikan kerajaan perpaduan berkiblatkan Israel.

“Adalah amat mengecewa dan mendukacitakan apabila Parlimen melarang Ahli-ahli Yang Berhormat menyebut tiga perkataan itu, sekali gus membuktikan Kerajaan Perpaduan sebenarnya berkiblat kepada Israel dan membenarkan apa yang diperkatakan umum mengenai siapa Anwar Ibrahim selama ini, ujar Marzuki.

Marzuki turut berkata, larangan itu sebagai satu kejutan besar kepada umat Islam di Malaysia dan dunia khususnya apabila Kerajaan perpaduan (Kerajaan madani) mengeluarkan arahan melarang Ahli-ahli Parlimen mengeluarkan perkataan kafir, zionis dan Yahudi Ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

“Ini adalah arahan pertama dan bersejarah dalam persidangan Parlimen (sejak) September 1959 apabila Ahli-ahli Dewan Rakyat dilarang menggunakan perkataan itu dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36 (10) (c) kononnya sebagai salah sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat menggunakan perkataan yang menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuh-musuhan antara kaum di Malaysia.

“Soalan saya, adakah menyebut perkataan kafir, zionis dan yahudi boleh menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuh-musuhan antara kaum?

Marzuki yang juga bekas timbalan menteri luar (2018-2022) berhujah bahawa ‘Kafir’ adalah merujuk kepada bukan Islam, manakala zionis dan yahudi merujuk kepada musuh umat Islam yang hampir setiap hari membunuh orang-orang dewasa dan kanak-kanak tidak berdosa tanpa belas kasihan.

“Adakah mereka memikirkan perasaan orang Islam?, soal beliau.

“Dalam al-Quran Allah ada menyebut perkataan kafir kepada manusia yang ingkar kepada perintah-Nya. Boleh rujuk Al-Baqarah ayat 6, Al-Baqarah ayat 89, Al-Baqarah ayat 152, Al-Mumtahanah ayat 4, Al-Hadid ayat 20 dan banyak lagi surah yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW mengenai orang kafir dan kufur.

“Begitu juga ayat-ayat al-Quran yang Allah kecam kaum Yahudi seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 113, Al-Baqarah ayat 120 dan Al-Ma’idah ayat 18. Ayat Allah yang melarang mengikut kaum Yahudi ada di surah Al-Ma’idah ayat 51, Al-Ma’idah ayat 64 dan Al-Ma’idah ayat 82.

Dalam kenyataannya kepada malayadaily, beliau menggesa Speaker Dewan menarik balik larangan tersebut.

“Saya gesa Speaker Dewan Rakyat menarik balik larangan itu sebagai membuka ruang kepada rakyat Malaysia bersolidariti kepada rakyat Palestin yang sesama agama.

“Harap Speaker tidak menyempitkan makna dan maksud Peraturan Mesyuarat 36 (10) (c).

“Sebagai rakyat Malaysia yang Islam adalah agama Persekutuan, layak dan berhak untuk menyuarakan bantahan atau kecaman kepada zionis, Israel dan yahudi, apatah lagi orang kafir yang berkiblatkan penjenayah dunia itu.

“Ahli-ahli Parlimen dari pembangkang diharapkan dapat menepis arahan Speaker itu dan saya nasihat Tan Sri Johari tidak sombong dalam mengeluarkan arahan, yang secara tidak langsung memperlihatkan kepada negara Islam dunia siapa kita sebenarnya. Katanya.

Sebelum itu, Ketika sidang dewan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur Ahli Parlimen supaya tidak mengungkapkan perkataan-perkataan sensitif seperti kafir, zionis dan yahudi di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, beliau meminta Ahli-ahli Parlimen untuk membawa isu-isu rakyat serta negara sebagai matlamat utama dan tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan politik.

“Kita telah mengharungi empat hari perbahasan belanjawan 2024 sepanjang minggu lalu. Dalam perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat, pelbagai hujah dan pendirian yang telah diutarakan yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati. Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp