TERKINI

Genosid Palestin: Tidak boleh hantar tentera selagi tiada mandat PBB – Mohamad Hasan

Gambar hiasan, pasukan Malbatt – foto FB MyJointForce

KUALA LUMPUR, 8 Dis 2023 – Menteri pertahanan memaklumkan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar tentera pengaman ke Palestin selagi tidak mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dewan Negara diberitahu.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai negara di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) serta anggota PBB, Malaysia mengambil pendirian tunggu dan lihat keputusan badan dunia itu selain pada masa sama, mengelak daripada bertindak secara bersendirian.

“Ramai yang WhatsApp, tulis dalam media sosial bertanya mengapa kita tidak menghantar tentera ke Palestin. Ini perlu saya jelaskan… kita tidak boleh sewenang-wenangnya hantar tentera atau askar kita keluar melepasi sempadan negara begitu sahaja.

“Jika kita bawa tentera kita keluar dari sempadan negara menuju ke satu-satu negara, itu sudah menjadi pengisytiharan perang negara kita ke atas negara tersebut, kita tidak dalam keadaan begitu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia merupakan antara pasukan keselamatan yang diperakui peranannya di peringkat antarabangsa oleh PBB sejak negara mula aktif dalam misi pengaman di Republik Demokratik Congo, Timor Leste dan terkini Batalion Malaysia (Malbatt) ke Lubnan.

Mohamad berkata keputusan menghantar keluar pasukan tentera tidak terletak di tangan Kementerian Pertahanan sebaliknya ia satu dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Luar.

Beliau yakin Malaysia akan menjadi antara negara yang diminta oleh PBB untuk bersama dalam misi pengaman di Palestin jika badan dunia itu, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam mendapat mandat daripada Majlis Keselamatan PBB berhubung keperluan tentera pengaman di kawasan bergolak.

“Di atas mandat itu, dan kerajaan juga membuat keputusan menjadi pasukan pengaman, saya dan kementerian tidak keberatan menghantar tentera kita untuk bersama-sama dalam misi tersebut,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp