TERKINI

Genosid Palestin : WHO gesa pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan di Gaza

Gambar hiasan, tentera IDF – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 22 Dis 2023 – KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, “pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan,” di Gaza, di mana jumlah kematian rakyat Palestin kini meningkat kepada 20,000.

“Saya tidak tahu entah berapa kali saya sangkakan krisis di Gaza ini tidak akan jadi lebih mengerikan. Tetapi, ia tetap berlaku lagi,” kata Tedros menerusi X, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata jumlah mangsa yang terkorban di kawasan yang dikepung dalam tempoh lebih dua bulan adalah “menakutkan” dan seolah-olah “mempersendakan kemanusiaan.”

“Ketakutan tidak berkesudahan bagi mereka yang terperangkap dalam ‘neraka dunia’ ini,” katanya, sambil menambah bahawa secara purata, kira-kira 300 orang terbunuh setiap hari di kawasan yang dikepung itu.

Beliau juga menekankan, keadaan sistem penjagaan kesihatan yang teruk di kawasan itu, di mana hanya sembilan daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza yang berfungsi sebahagiannya, manakala tiada langsung yang berfungsi di bahagian utara.

“Pembunuhan beramai-ramai ini mesti dihentikan. Kita perlukan #CeasefireNOW,” kata Tedros.

Konflik antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Okt lalu dan kini telah mengorbankan lebih 20,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan pemindahan dan kemusnahan besar-besaran.

Facebook
Twitter
WhatsApp