TERKINI

Parti Pejuang dan Putra sokong cadangan Muhyiddin adakan PRK 7 kerusi

PUTRAJAYA, 10 Mac 2024 – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti Putra (Putra) menyatakan sokongan kepada cadangan agar kerajaan mengadakan Pilihanraya Kecil dengan mengisytiharkan kekosongan bagi tujuh buah kerusi, enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dun di Selangor.

Tujuh kerusi yang dimaksudkan itu kesemuanya adalah enam kerusi Dewan Rakyat iaitu Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Tanjung Karang, Labuan, Gua Musang serta Jeli dan satu kerusi DUN Selangor iaitu DUN Selat Klang.

Ketua penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, walaupun kesemua tujuh wakil rakyat parti Bersatu tetap menyatakan “kesetiaan” pada parti mereka, tetapi lain pula nada Bersatu yang jelas mengimpikan PRK pada kesemua tujuh kerusi tersebut untuk dimenangi secara mutlak.

Rafique berpadangan sekiranya ia berlaku, maka pembangkang harus memastikan ianya satu lawan satu.

“Yang penting tunjuk pada rakyat kesatuan dalam menolak kepimpinan kerajaan Madani yang hanya pandai bercakap tetapi tiada hasil yang nampak.

“Satu lawan satu. Rakyat pasti bersetuju. Ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif berkata, Putra amat bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang mencabar PMX mengisytihar bahawa tujuh kerusi pemimpin dari PN yang menyokong Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor diadakan Pilihan Raya Kecil.

“Sekiranya DS Anwar melalui Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor kosongkan ketujuh-tujuh kerusi tersebut, dapatlah kerajaan Madani membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang benar-benar kerajaan pilihan rakyat dan mengangkat ketertinggian undang-undang “Rule of Law” iaitu melaksanakan Perlembagaan dan segala undang-undang yang termaktub dan telah dipersetujui serta dipinda bagi memastikan kestabilan politik negara berjalan lancar.

“Rakyat juga boleh menilai bahawa ahli Parlimen yang terlibat benar-benar jujur atau ada agenda yang lain. Katanya.

Nasrul menambah, mengalih sokongan kepada pemimpin berlainan parti adalah sama niat dan tujuan seperti melompat parti, maka sekiranya mereka benar-benar jujur, kerusi tersebut perlu dikosongkan.

“Kosongkanlah kerusi secara sukarela, berikan rakyat kuasa semula untuk membuat pilihan dan memberi mandat kepada ketujuh-tujuh mereka melalui lambang Pakatan Harapan atau Barisan Nasional. Ujarnya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencabar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan.

Ia berikutan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU di kerusi terbabit beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp