TERKINI

Tangkap Rakyat Kritik Pemimpin, Melampau – Peguam

Rafique Rashid (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Okt 2023 – Tindakan menahan seorang wanita sukarelawan polis di Johor disebabkan hantaran di media sosial adalah keterlaluan, kata peguam Rafique Rashid.

Ketua Penerangan Pejuang itu berkata polis boleh merakamkan siasatan wanita terbabit tanpa sebarang tangkapan dan merakamkan kenyataannya dan biar Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan sama ada wanita itu bersalah atau tidak.

“Bila ditahan, tunjuk gambar di media, seolah olah dia dah didapati bersalah oleh rakyat, ini menunjukkan pihak berkuasa terlalu mengikut apa dikehendaki pihak berkuasa dalam kerajaan.

“Adakah kerajaan hantar mesej siapa yang mengkritik atau mempunyai pendapat berbeza daripada kerajaan akan diperlakukan sebegini rupa.

“Reaksi pihak berkuasa melampau, seeloknya adalah rakam percakapan, siasat dan biar AG putuskan,” kata Rafique, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tangkapan wanita yang disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) menerima laporan polis yang dibuat seorang pegawai kanan polis yang melayari laman sosial Facebook dan menemui satu hantaran ditularkan pada pukul 10.22 malam tadi.

Tular satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut tentang sesuatu nama.

Berdasarkan hantaran tular itu yang menanyakan tentang “Bila sebut Madani, apa yang terlintas di fikiran anda?”

Suspek kemudian dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada seseorang. Komen itu dipercayai sudah dipadam.

“Tindakan menahan wanita itu satu perkara tindakan terlampau kerana bagi kes sebegini yang melibatkan kenyataan posting di sosial media selagi tak bawa kecenderungan menimbulkan keresahan kepada masyarakat sepatutnya tak patut ditahan,” kata Rafique lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp