TERKINI

Gerakan reformasi hanya semai persepsi negatif, tak pernah buktikan semua dakwaan – Peguam

Rafique Rashid Ali (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 Jan 2024 – Peguam, Rafique Rashid Ali mendakwa bahawa gerakan reformasi hanya menyemai persepsi negatif kepada musuh-musuh politik gerakan tersebut, malah semua dakwaan menerusi persepsi itu tidak pernah dibuktikan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, persepsi yang menggunakan terma-terma nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa wujud bermula tahun 1998.

“Sebenarnya persepsi dan pembinaan naratif ini bukan perkara baru. Malah tidak keterlaluan jika disingkap sejarahnya kita akan dapati terma-terma seperti nepotisme, kronisme dan salah guna kuasa ini wujud dalam sejarah hitam negara bermula tahun 1998.

“Isu berkenaan kononnya Tun Mahathir menyalahguna jawatan serta memperkaya dirinya serta anak-anak beliau ini bukan perkara asing. Ianya sudah disemai dan disuburkan pertumbuhannya selari dengan pembenihan gerakan reformasi dan penubuhan PKR lagi. Ujar beliau.

Menurut Rafique, dari 1998 sehingga 2023, tiada satu pertuduhan atau sabitan dikenakan terhadap Mahathir.

“Dari 1998 sehingga sekarang 2023 hampir 25 tahun, suku abad lamanya negara telah melalui 5 perdana menteri dan pelbagai Peguam Negara serta bersilih ganti Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Sehingga kini tiada satupun pertuduhan atau sabitan dikenakan terhadap Tun Mahathir. Katanya.

Namun, persepsi ini muncul kembali dengan menggambarkan seolah-olah semua dakwaan tahun 1998 itu wujud.

“Tetapi kali ini Tun Mahathir tidak senyap. Saman fitnah difailkan.

“Kalau betul sakau bilion-bilion dan kayakan diri serta anak-anak sila buktikan. Bawa kotak-kotak dan transaksi. Lawan di Mahkamah. Ujarnya.

Namun, menurut Rafique semua dakwaan ini masih berbentuk persepsi, bukan bukti.

“Peliknya kini masih persepsi. Dimanakah bukti?

Rafique yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air mengingatkan bahawa pentas terbaik untuk membuktikan semua persepsi ini adalah di mahkamah.

“Mengapa tidak gunakan mahkamah? Atau adakah selama ini hanya persepsi tanpa bukti?

“Kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman harus dipercayai. Kalau tidak hanyutlah dalam persepsi dan naratif syok sendiri demi kepuasan penyokong parti.

“Sesungguhnya persepsi bukan bukti. Dan sehingga hari ini manakah bukti?, ujar Rafique lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika benar Dr Mahathir jujur dengan kata-katanya, siasatan harus dimulakan dengan bekas Perdana Menteri itu serta keluarga beliau.

Shamsul Iskandar mendakwa, umum mengetahui akan kekayaan anak Dr Mahathir, dan sewajarnya SPRM memulakan siasatan dari mana datang kekayaan terbabit jika benar bekas Perdana Menteri itu mahu siasatan dimulakan ke atas golongan yang memiliki gelaran Tun. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp