TERKINI

Pihak Kerajaan Lebih Banyak Sentuh Isu 3R – Peguam

Haniff Khatri – foto Borneo Post Online

KUALA LUMPUR, 6 Sept 2023 – Pemimpin kerajaan yang lebih banyak menyentuh isu membabitkan agama, bangsa, dan raja (3R) berbanding wakil rakyat pembangkang, kata peguam.

Haniff Khatri berkata, beberapa keadaan menunjukkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP banyak menyentuh isu melibatkan 3R antaranya isu melibatkan wanita dikenakan kompaun di Kelantan kerana tidak mematuhi etika berpakaian di pejabat awam.

“Saya juga nampak lewat-lewat ini bahawa sebenarnya kalau kita lihat, lebih ramai di pihak kerajaan yang menyentuh isu 3R secara salah, bukan dipihak selain daripada kerajaan samada pembangkang, pihak akademik atau sebagainya.

“Sebagai contoh, apabila berlaku kes seorang wanita Cina yang dikeluarkan kompaun di Kota Bharu, Nga Kor Ming, menteri kerajaan tempatan, tanpa sebab yang munasabah, secara mengejut mengeluarkan kenyataan seolah-olah Majlis Bandaraya Kota Bahru cuba untuk melaksanakan undang-undang Islam kepada orang bukan Islam, sedangkan beliau salah,” kata Haniff.

Tambahnya, begitu juga ketika Pengerusi DAP Lim Guan Eng membantah kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Noor berhubung isu pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah.

“Lim mengatakan itu adalah membawa keganasan, adakah itu betul? Apakah salah seorang pemimpin politik merujuk kepada analogi-analogi untuk memberi huraian pendapat beliau sedangkan Lim sendiri pernah merujuk diri dia sebagai Umar Abdul Aziz.

“Kenapakah beliau boleh sentuh 3R tapi tidak salah, tetapi orang lain sentuh menjadi salah,” kata Haniff.

Beliau juga berkata, wakil kerajaan perlu memahami undang-undang turut terpakai kepada mereka seperti juga orang lain.

“Saya percaya kerajaan persekutuan sekarang ini dan sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan perlu faham undang-undang terpakai kepada mereka sepertimana dia terpakai kepada rakyat lain.

“Selagi apa yang mereka lakukan itu betul, maka dia bukan salah walaupun dia 3R dan selagi ianya disentuh dengan cara yang salah maka ia menjadi jenayah di bawah Akta Hasutan dan juga peruntukan lain di bawah kanun keseksaan,” kata Haniff. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp