TERKINI

Golongan Wanita Disatukan Dalam “Himpunan 1000 Wanita Melayu” 28 Oktober Depan

Zuraida Kamaruddin (tengah) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Okt 2023 – Satu perhimpunan yang dinamakan “Himpunan 1000 Wanita Melayu” akan dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan 1000 Wanita Melayu di Shah Alam 28 Oktober ini.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, bekas ahli parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perhimpunan yang akan diadakan ini bertujuan untuk menghimpunkan golongan wanita untuk berbahas dan membuat usul berkaitan agenda wanita dalam suasana ekonomi dan politik semasa.

“Sejak akhir-akhir ini, dilihat kurangnya penekanan terhadap usaha bagi memperkukuhkan agenda pemberdayaan wanita, khususnya wanita Melayu melalui perancangan polisi samada diperingkat persekutuan atau pun diperingkat negeri.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana sekiranya hal ini berterusan, akan berlaku kerencatan terhadap pembangunan wanita di masa hadapan khususnya dikalangan wanita Melayu dan secara amnya bagi keseluruhan wanita di Malaysia.

Zuraida yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sebanyak 19 belas buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai wilayah dan negeri dari seluruh Malaysia, yang mewakili pelbagai spektrum kepakaran, akan berkumpul dan bersidang buat julung kalinya dalam satu konvensyen untuk mengangkat dan membahas pandangan dari kalangan perwakilan.

“Dengan slogan “Wanita Melayu, Minda Baru” himpunan ini akan mengetengahkan sepuluh (10) pembahas/pengusul yang akan membicarakan isu-isu merangkumi hal ehwal ekonomi, pendidikan, perundangan dan advokasi, peranan pelapis muda wanita, kepimpinan politik, sosial, kesihatan, kebajikan warga emas, veteran dan kerohanian.

Menurutnya lagi, perhimpunan ini akan menampilkan tokoh akademik Prof. Dr Solehah Yaacob bersama Ahli Parlimen Yb Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Shamsudin dan Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta Hajah Haniza Talha.

“Himpunan ini juga akan menampilkan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi penutupan perhimpunan.

“Tun Mahathir akan menyampaikan amanat kepada wanita-wanita Melayu, sekaligus menerima resolusi yang dibahaskan pada perhimpunan ini, ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp