TERKINI

PRK KKB: Pemimpin Bersatu diumumkan sebagai calon PN

Khairul Azhari Saut, calon PN PRK KKB – malayadaily.com

KUALA KUBU BAHARU, 26 Apr 24 – Pemimpin Bersatu yang juga Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengumuman Calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu, semalam.

Khairul Azhari yang merupakan anak jati Hulu Selangor merupakan seorang ahli perniagaan.

Beliau mendapat Universiti Malaya (UM) dengan jurusan Diploma Eksekutif Pengurusan dan Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Khairul Azhari pernah bertugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor. Di sektor korporat pula beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Besar Global Valley Venture Sdn Bhd, Pengurus Besar Petrogas Resources, Ketua Jabatan Minyak dan Gas di Damini Corporation dan Eksekutif Kewangan di Bursa Malaysia.

Dalam aktif berpolitik, beliau kini menjadi pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor mulai 2023 hingga kini, dan pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor (2019 hingga 2023), serta Naib Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor (2016 hingga 2019).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp