TERKINI

Cuepacs Gesa Kerajaan Tambah Baik Skim Pembantu Tadbir N19

Adnan Mat – foto kosmo digital

KUALA LUMPUR, 16 April 2023 – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui pertambahan gred daripada lantikan N19 kepada gred baharu.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata penambahbaikan itu wajar dilakukan kerana kira-kira 350,000 pegawai pembantu tadbir di bawah skim itu telah menjalankan tugas yang melangkaui tugasan hakiki berdasarkan skim sedia ada.

“Skim ini dipanggil skim pembantu tadbir yang telah berkhidmat melangkaui tugasan biasa yang mereka ada satu ketika dulu, tetapi oleh kerana kelayakan semasa kemasukan, mereka masih dikekalkan dalam kelayakan masuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) maka itulah gajinya, sedangkan tugasan harian telah melangkaui beban skim yang sedia ada.

“Fungsi kita (pembantu tadbir) berubah kerana zaman juga berubah, seluruh dunia berubah, kena ubah bentuk skim ini, kerana dengan cara ini kita ada sedikit kelegaan dalam bentuk kenaikan gred dan kelebihan kenaikan gaji tahunan yang boleh berubah sedikit daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs di Kuala Lumpur, semalam bagi membincangkan perkara itu.

Adnan berkata terdapat skim yang setara dengan skim pembantu tadbir yang grednya telah berubah, seperti juruteknik yang sebelum ini di gred maksimum J17 telah bergerak ke J29.

“Pembantu tadbir kewangan sudah berubah nama jawatan kepada pegawai audit dan naik gred kepada W29.

“Itulah yang kita mahukan kerana yang setara lantikan dengannya telah berubah, maka ini juga kita minta daripada kerajaan, dengan cara ini supaya mereka ada sedikit kelebihan dengan kenaikan gaji,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp