TERKINI

Genosid Palestin : Tun tidak peduli ugutan dan ancaman AS, Israel

Mahathir Mohamad – foto Youtube TDM

PUTRAJAYA, 15 Nov 2023 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mengendahkan ancaman daripada Amerika Syarikat dan Israel sewaktu pentadbirannya kerana merasakan ia adalah kecil berbanding penderitaan dialami rakyat Palestin, ketika itu

Dalam hantaran di media sosialnya, negarawan itu berkata, beliau juga mengutus surat kepada pimpinan Israel ketika itu menyatakan pendirian Malaysia yang mengutuk tindakan mereka merampas harta benda rakyat Palestin.

“Saya ambil peluang mengingatkan pemimpin-pemimpin Israel supaya tidak merampas sesuatu yang menjadi kepunyaan orang lain, jika pun pada satu masa dahulu ianya kepunyaan mereka.

“Saya mengkritik Israel meruntuh kediaman orang Arab untuk mendiri rumah orang Israel. Banyak lagi yang saya tulis. Semua ini boleh dibaca di dalam surat-surat tersebut. Tidak ada perlu saya nafi atau cuba putar fakta,” kata Mahathir.

Beliau sehubungan itu melahirkan rasa pelik apabila dikaitkan kembali kononnya mempunyai hubungan dengan Israel melalui penerbitan tiga suratnya itu setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh mempunyai hubungan dan kaitan dengan Israel.

“Saya perhatikan, setiap kali parti PKR atau Anwar terkait atau dituduh ada hubungan intim dengan Israel atau sekutunya, usaha untuk mengheret saya bersama akan berlaku.
Konon bukan sahaja Anwar, saya juga ada hubungan dengan Israel.

“Kali ini, Anwar dan PKR terdedah ada hubungan dengan Liberal International (LI), sebuah organisasi yang kuat menyokong Israel, sekali lagi surat-surat saya kepada perdana menteri Israel didedah,” katanya.

Daripada menafikan atau menyalahkan orang lain, Mahathir berkata adalah lebih mudah untuk beliau mengakuinya.

“Saya tidak nafi saya tulis surat kepada perdana menteri Israel, tetapi surat itu bukan untuk sokong Israel. Surat itu, seperti disebut di atas mendesak Israel supaya tunai janji kepada Arafat.

“Saya terus dengan usaha tersebut sehinggalah Arafat berhenti berusaha kerana Israel sememangnya tidak mahu kepada perdamaian,” kata Mahathir.

Tindakan berbeza bagi Anwar dan pemimpin PKR di dalam kerajaan katanya yang mengugut akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terus mengaitkan mereka dengan Israel. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp