KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2023 – Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi menyelar tindakan menggunakan logo kerajaan dan parti dalam pemberian sumbangan adalah tidak mencerminkan semangat Malaysia Madani serta tatakelola yang menjadi aspirasi Perdana Menteri.
Kenyataan tersebut berkaitan gambar replika cek yang memaparkan Nga Kor Ming bersama pimpinan DAP menyerahkan replika cek kepada sekolah-sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan di sekitar negeri Perak.
“Secara peribadi, tindakan yang dibuat ini langsung tidak mencerminkan semangat Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan serta tatakelola yang telah diangkat dan menjadi aspirasi Perdana Menteri Malaysia.
“Seakan-akan hanya YAB Perdana Menteri sahaja yang beriya-iya melakukan reformasi walhal sewajarnya pasukan Malaysia Madani juga sepatutnya mengangkat dan gerakan bersama apa yang telah dicerminkan sebelum ini.
Fazreen pada masa yang sama meminta dinyatakan berapa peruntukan dari pihak kerajaan dan berapa jumlah sumbangan dari pihak DAP dan Pakatan Harapan, agar dapat mengelakkan kekeliruan.
“Jika sumbangan ini bersama, GPMS mohon nyatakan berapa peruntukan dari pihak kerajaan dan berapa jumlah sumbangan dari pihak DAP dan Pakatan Harapan?
“Ini bagi mengelakkan kekeliruan sekiranya terdapat mana-mana sumber kewangan yang telah diperuntukkan disalah guna atau sebagainya. Ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
GPMS juga secara sinis berharap sekolah-sekolah lain juga turut diberi perhatian bagi mencerminkan semangat perpaduan.
“GPMS harap sekolah-sekolah lain juga turut diberi perhatian bagi mencerminkan semangat perpaduan bagi membina pendidikan yang lebih maju serta kondusif dan tidak hanya bersifat memilih.
Dilaporkan sebanyak 17 sekolah aliran Cina di Perak menerima sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada Kementerian Pendidikan untuk kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sekolah. – malayadaily.com