TERKINI

GSPP seru rakyat Malaysia terus sokong pembebasan bumi Palestin

Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) – foto Ustaz Hakimi

KUALA LUMPUR, 5 Dis 2023 – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong perjuangan suci warga Palestin hingga pembebasan penuh bumi Palestin berjaya dicapai.

Wakil GSPP, Dr Muslim Mustapa berkata, sekiranya umat Islam memainkan peranan strategik dalam memberikan sokongan kepada pejuang Palestin, mereka akan mampu mempertahankan dua kawasan berbaki yang masih tidak dijajah oleh Zionis iaitu Gaza dan Tebing Barat.

“Gabungan ini berusaha untuk melibatkan masyarakat Malaysia dalam fasa pertembungan baru
Palestin dan Israel.

“Dengan usaha memberi kefahaman yang tuntas berkenaan isu yang sebenar berlaku di Palestin, diharapkan rakyat Malaysia akan terus berusaha untuk membantu dan memberi sokongan terhadap segala usaha untuk pembebasan penuh bumi Palestin. Katanya.

Muslim juga berkata terdapat empat objektif utama GSPP iaitu untuk mengukuhkan fasa Baharu daripada isu kemanusiaan kepada penyertaan strategik ummah untuk membebaskan Palestin, membawa seruan perang pembebasan Palestin kepada peta asalnya iaitu sebelum 1917 (Perjanjian Balfour), menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada penduduk dan pejuang Palestin di Gaza dan Tebing Barat untuk terus bertahan menghalang perancangan Zionis melakukan Nakbah kedua dan mengangkat entiti Hamas sebagai pejuang sebenar kehendak dan aspirasi rakyat Palestin menggantikan entiti Fatah dan sekutunya.

Dalam kenyataan yang sama, Muslim menekankan tujuan utama iaitu untuk mengangkat isu Palestin dalam perspektif projek perjuangan pembebasan penuh Palestin.

“Mempersiapkan diri, jiwa masyarakat dan dunia untuk sebuah perjuangan pembebasan Palestin yang pastinya mengambil masa yang panjang. Memberikan sokongan penuh melalui segala bentuk dokongan kepada rakyat Palestin untuk terus kekal teguh tidak berganjak mempertahankan
bumi mereka termasuk tanah suci Al-Aqsa. Ujarnya.

Beliau juga menyeru rakyat untuk memberikan tekanan secara kolektif kepada kerajaan dan kepimpinan Malaysia, negara serantau, dunia Islam amnya serta badan-badan antarabangsa untuk memihak kepada keadilan dan bertanggungjawab serta mengambil tindakan berani untuk mengembalikan hak dan kebebasan kepada rakyat dan negara Palestin.

Membentuk satu gerakan massa dengan menjalankan pelbagai inisiatif, program, dan kempen bersama-sama GSPP.

GSPP seterusnya menyeru agar rakyat memberi sokongan dan sumbangan harta, tenaga, kepakaran di dalam pelbagai bidang serta mengikut kapasiti dan lapangan masing-masing bagi pembebasan Palestin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp