TERKINI

Tiada Surat Perjanjian 1786, Tubuh Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan Selesaikan Pertikaian Sejarah Negara – Prof Murad

Ahmad Murad Merican – foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2023 – Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan bagi menyelesaikan pertikaian dari segi konteks sejarah negara.

Murad berkata, melalui penubuhan suruhanjaya itu, banyak pertikaian di dalam sejarah negara dapat diselesaikan, tidak hanya terhad kepada polemik pajakan Pulau Pinang oleh Kedah, seperti dibangkitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

“Perlu ditubuhkan suruhanjaya ini, untuk merungkai sejarah negara, bukan hanya sejarah Kedah atau Pulau Pinang sahaja, tetapi juga pemesongan sejarah.

“Kita ada pelbagai pertelingkahan. Ini perlu diatasi. Satu pernyataan rasmi. Malaysia tidak ada sejarah rasmi. Kegawatan Ini akan berterusan. Apa asasnya sejarah rasmi Malaysia – sejarah pribumi,” kata Murad.

Polemik pajakan Pulau Pinang yang dibangkitkan Sanusi terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan banyak pihak, termasuk juga pakar sejarah tanah air.

Terdapat antara ilmuan dan ahli akademik yang berpendapat isu pajakan itu sudah selesai dan Pulau Pinang adalah negeri berdaulat namun ada juga berpandangan sebaliknya.

Bagi Murad, beliau berpendapat tiada surat perjanjian pada 1786 yang menyatakan berkenaan pajakan negeri berkenaan.

“Berdasarkan kepada sejarah dan surat perjanjian 1786. Tiada surat atau dokumen perjanjian. Tiada tandatangan.

“Yang ada ialah surat-surat yang membincang mengenai perlindungan dan sewaan. Bukan persetujuan. Tidak ada persetujuan tahun 1786. Itu tidak dicapai pada tahun 1786,” kata Ahmad Murad.

Kenyataan itu dikeluarkannya sebagai respons kepada Profesor Datuk Ramlah Adam yang beranggapan isu sewaan Pulau Pinang kepada Kedah adalah terbatal selepas pembentukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.

Ramlah berkata, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.

Bagaimanapun, katanya, selepas Pulau Pinang dikuasai oleh British, ia sudah menjadi satu perkara yang sah dan sewaan diteruskan sehingga terbentuknya PPTM 1948.

Ahmad Murad sebaliknya berpandangan pendudukan British di Pulau Pinang pada 1786 juga adalah melalui rampasan tanah dan pendudukan secara haram.

“Selepas Pulau Pinang dikuasai oleh British. Ini merujuk kepada tahun bila? Bilakah British menguasai Pulau Pinang. Jika merujuk kepada tahun 1786, itu rampasan, kecurian, dan pendudukan secara haram.

“Jika merujuk kepada 1791 pula, terdapat perjanjian tetapi sultan sendiri tidak tandatangan,” katanya.

Ramlah berpandangan Pulau Pinang telah dimasukkan ke dalam PPTM sebagai negeri bebas daripada jajahan takluk British.

“Apabila kita merdeka, sekali lagi perjanjian di antara British dan Pulau Pinang dibuat menjadikan negeri itu berdaulat.

“Jadi sebaik sahaja negeri itu ada kedaulatan rasmi, secara tidak langsung isu sewaan di antara Pulau Pinang dan Kedah tidak lagi timbul dan terbatal,” katanya.

Isu tersebut timbul ketika Sanusi menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa selepas bayaran kepada negeri itu, sejak 2018 hanya berjumlah RM10.01 juta kepada RM100 juta.

Beliau juga meminta penilaian pajakan Pulau Pinang dibuat semula Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengikut nilai semasa.

“Saya pernah cakap dulu nilai pajakan sepatutnya RM100 juta, jika kita hendak nilai semula kena lantik JPPH buat penilaian dan keluarkan nilai sebenar.

“Tetapi saya kata RM100 juta kerana nilai itu selepas diskaun, jika ikut nilai semasa mungkin lebih tinggi,” katanya.

Disebabkan kenyataan itu, Sanusi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman pada 7 Jun lepas.

Rakaman kenyataan itu dibuat susulan siasatan dibuat polis ke atasnya mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp