TERKINI

Nahas Elmina : Data Gagal Diekstrak, CVR Dihantar ke Amerika Syarikat

Gambar hiasan : CVR – foto Free3D

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2023 – Makmal di Singapura gagal mengekstrak data perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Khamis lalu.

Anthony Loke Siew Fook berkata, CVR berkenaan akan dihantar ke kilang pengeluar di Florida, Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat selepas mendapat maklumat daripada Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Udara (BSKU) pada Selasa.

“Pagi tadi saya mendapat laporan daripada ketua biro (BSKU), makmal di Singapura juga tak dapat keluarkan rakaman suara tersebut. Jadi ada beberapa isu teknikal, kekangan yang tidak dapat mengeluarkan rakaman tersebut.

“Ketua biro akan balik ke Kuala Lumpur petang ini (Selasa) dan memberikan penjelasan kepada saya. Tindakan susulan mungkin perlu hantar ‘memory puck’ ke AS untuk dianalisa.

“Kita akan membuat perancangan seawal mungkin untuk membenarkan pasukan BSKU pergi ke Florida untuk cuba ‘retrive’ perakam suara tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan 2023 pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, CVR tersebut dihantar ke Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum terhempas setelah BSKU menghadapi kesukaran ekoran ‘memory puck’ berada dalam keadaan tidak sempurna.

Sementara itu, mengulas mengenai kebolehan Malaysia menganalisis data berkaitan kemalangan pengangkutan udara, Anthony menjelaskan, kerajaan sedang berusaha untuk menambah baik kemudahan fasiliti termasuk menganalisis data CVR.

Beliau menegaskan, tuduhan kerajaan tidak mahu lakukan siasatan dalam negara adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Dalam dunia penerbangan, kita kena faham bahawa tiada satu negara yang mampu lakukan segala-galanya. Sebab itu kita perlukan kerjasama serantau, antarabangsa.

“Bukan soalnya kita tak nak buat di Malaysia cuma ada kekangan dan peralatan ini memerlukan pelaburan.

“Apabila dalam keadaan kecemasan, kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak luar dan keutamaan saya adalah memberi jawapan kepada keluarga mangsa (dan) orang ramai secepat mungkin,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp