TERKINI

Gubal segera akta anti buli, kata peguam

Wan Azliana Wan Adnan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 7 Nov 2023 – Ketua Gerakan Pengubalan Akta Anti Buli Wan Azliana Wan Adnan menggesa kerajaan menggubal satu akta khusus anti buli supaya aktiviti itu dapat dikekang daripada berlarutan.

Beliau yang juga ketua pengerusi pertubuhan aspirasi wanita Malaysia (Aswa) berkata, setakat ini tiada peruntukan khusus melibatkan kegiatan buli sebaliknya sebarang kesalahan dirujuk kepada Kanun Keseksaan.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal satu undang-undang khusus untuk mencegah dan menangani kes-kes buli terutamanya di sekolah-sekolah.

“Sehingga kini masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh, padu lagi mantap tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.

“Walaupun Malaysia mempunyai Kanun Keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959, serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus masih diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang yang sedia ada ini,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Wan Azliana selepas media melaporkan kegiatan buli di sebuah sekolah berprestij sehingga mengakibatkan kecederaan kepada pelajar sekolah terbabit.

Selain itu, baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan juga telah memerintahkan lima bekas pelajar Tingkatan Lima dan empat pihak lain membayar ganti rugi kepada seorang mangsa buli dalam kejadian buli di bilik ketua pegawas sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan teruk dan hilang pendengaran.

“Keputusan kes Mahkamah Persekutuan tersebut perlu menjadi iktibar dan pengajaran yang sangat penting kepada semua pihak mengenai jenayah buli di sekolah.

“Gejala ragging dan buli harus dihapuskan. Apalah erti ilmu yang tinggi tapi tanpa akhlak yang terpuji di kalangan generasi muda,” kata Wan Azliana.

Akta itu nanti katanya perlu mempunyai peruntukan yang mampu memberi pengajaran setimpal kepada pelakunya.

“Penting bagi murid, guru dan ibu bapa untuk memahami buli adalah perbuatan jenayah dan bukan hanya masalah displin.

“Hukuman berbentuk pengajaran dan ‘deterrent’ juga harus dilaksanakan agar itu dapat memberi mesej yang jelas kepada pembuli dan juga murid lain bahawa perbuatan buli tiada toleransi,” kata Wan Azliana lagi.

Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober 2023.

“Semua pihak harus sedar bahawa buli adalah suatu jenayah yang boleh merosakkan mangsa buli sehingga ada yang meragut nyawa.

“Oleh itu, buli tidak lagi seharusnya dilihat hanya sekadar masalah disiplin tetapi jenayah berat yang semakin berleluasa,” tambahnya.

Facebook
Twitter
WhatsApp