TERKINI

Isu Vape : Cadangan Fadhlina Sidek Tak Selesai Masalah – M3

KUALA LUMPUR, 11 Mac 25 – Sebuah kumpulan atas talian, Medical Mythbusters Malaysia (M3) menyifatkan cadangan Menteri Pendidikan untuk membuang pelajar yang menghisap vape, tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia akan terus mendedahkan pelajar kepada persekitaran yang lebih berisiko.

Dalam satu entri dilaman sosial facebook, M3 berkata sekolah seharusnya menjadi ruang mendidik, bukan menghukum.

“Menghukum pelajar dengan buang sekolah tidak akan menyelesaikan masalah—sebaliknya, ia hanya membuang pelajar ke dalam jurang yang lebih dalam.

“Kajian menunjukkan bahawa pendekatan disiplin yang bersifat hukuman seperti buang sekolah dan gantung persekolahan lebih banyak memudaratkan pelajar, terutama mereka dari latar belakang yang kurang bernasib baik.

“Sekolah sepatutnya menjadi ruang untuk mendidik dan membimbing pelajar, bukan hanya tempat menghukum.

Jika seorang pelajar dikesan menghisap vape, pendekatan yang lebih wajar adalah melibatkan kaunseling, pendidikan kesihatan, serta peranan ibu bapa, bukannya terus mengusir mereka dari sistem pendidikan. Ujarnya.

Dalam entri yang sama, M3 menegaskan masalah vape dalam kalangan pelajar adalah akibat dari kegagalan dasar kesihatan awam yang lemah.

“Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan nikotin dari Akta Racun telah membuka ruang kepada lambakan produk vape yang tidak dikawal, menjadikannya mudah diakses oleh kanak-kanak.

“Pada masa yang sama, kegagalan kerajaan untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih ketat seperti Generational End Game (GEG) memburukkan lagi keadaan.

M3 sebagai sebuah komuniti atas talian yang dianggotai oleh anggota perubatan bertauliah menambah, kelemahan ini menyebabkan industri vape semakin berkembang dengan bebas, mensasarkan pelajar tanpa kawalan yang mencukupi. Katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap vape atau rokok elektronik di sekolah, boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dipetik sebagai berkata tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan vape di sekolah seperti ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah.

M3 padamasa yang sama menggesa KPM untuk menilai semula pendekatan tersebut.

“Mengusir pelajar dari sekolah kerana vape bukan penyelesaian yang bijak, sebaliknya ia menunjukkan kegagalan dasar kerajaan dalam melindungi generasi muda.

“Jika benar kerajaan mahu menangani masalah ini, mereka perlu membetulkan kesilapan mereka sendiri dahulu sebelum menghukum generasi akan datang. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp