TERKINI

Kerajaan Digesa Nyatakan Status Terkini Usaha Pengasingan Kuasa AGC – Peguam

Wan Azliana Wan Adnan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Sept 2023 – Peguam, Wan Azliana Wan Adnan menggesa kerajaan agar menerangkan apakah status terkini langkah pengasingan kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya yang telah dicadangkan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, Wan Azliana berkata pada Disember 2022 menteri undang-undang telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara, namun sehingga kini status tersebut tidak dinyatakan.

“Pada Disember 2022 Azalina sebagai menteri undang telah adakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC)  dan memberi kenyataan bahawa AGC akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian jabatan.

“Sepatutnya beliau menerangkan apakah status terkini langkah pengasingan kuasa tersebut.

Wan Azliana turut mempersoalkan kenyataan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang pernah berkata bahawa pelantikan Peguam Negara (AG) adalah atas nasihat perdana menteri maka dia (PM) harus melantik orang dia untuk mudahkan segala urusan.

“Jadi kenyataan bahawa beliau kesal dengan sikap pembangkang yang bertalu-talu membangkitkan isu pendakwaan terpilih sedangkan mereka sendiri tidak pernah melaksanakan sebarang cadangan termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara, hakikatnya ketika itu beliau adalah Penasihat Undang-undang kepada Perdana Menteri kerajaan terdahulu sebelum kerajaan Madani, iaitu kerajaan gabungan antara PN & UMNO.

“Bila buat kenyatan kerajaan dahulu tidak buat kerja adalah ibarat meludah ke langit, muka sendiri juga yang basah.

“Jadi kenyatan itu sahaja dah tidak tepat. Ujar Wan Azliana.

Sebelum ini, Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata dalam majlis Taklimat Khas Presiden Umno di Dewan Merdeka WTC , bahawa sesiapa sahaja yang menjadi perdana menteri perlu melantik daripada “orang dia “untuk memudahkan urusan.

Dalam kenyataan yang sama, Wan Azliana melahirkan kebimbangan beliau mengenai pendirian Menteri undang-undang itu mengenai AG dilantik harus orang PM.

“Beliau memegang jawatan sebagai menteri undang-undang. Jika beliau masih berfikiran begitu, bagaimana dengan usaha untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara jika beliau sendiri mempunyai pendirian yang berbeza.

“Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara harus dilakukan segera. Kerajaan harus komited.

“Kerajaan harus memberikan komitmen serius dalam melaksanakan pengasingan kuasa peguam negara dengan kadar segera kerana timbulnya persepsi bahawa AGC dipegaruhi oleh orang tertentu. Kata Wan Azliana. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp