TERKINI

‘Guna jentera kerajaan untuk politik tata kelola tidak baik’ – Ketua Pemuda PAS

Afnan Hamimi Taib Azamudden (kiri) – foto Bebasnews

SHAH ALAM, 20 Okt 2023 – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan tindakan menggunakan jentera kerajaan untuk kempen parti politik sebagai satu tata kelola yang tidak baik.

Ujar beliau, tindakan itu dibimbangi akan mempengaruhi pemikiran dan pemahaman rakyat tentang erti tata kelola yang sebenar.

“Itu adalah satu tata kelola yang tidak betul dan tidak tepat. Kita kena cerita tata kelola yang lebih tepat, kena tunjuk, buktikan, cakap dan cadang.

“Memisahkan parti politik dengan kerajaan itu adalah satu perkara yang perlu dibuat dalam memperkenalkan tata kelola yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Dewan Pemuda Pas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Khamis.

Ulas beliau, pihaknya akan berterusan memperbetulkan sebarang kesalahan dalam tata kelola yang ada.

“Kita dah tunjuk perkara itu di negeri-negeri yang kita perintah terutama di Kedah. Buktinya adalah dalam keputusan pilihan raya di peringkat negeri baru-baru ini.

“Orang menerima kita kerana kita mengamalkan tata kelola yang baik, jadi model yang kita ada di Kedah dan negeri-negeri yang lain ini, itu kita nak angkat ke peringkat Persekutuan.

“Bagi saya kalau mereka buat dengan betul dari segi tata kelola kerajaan, tadbir urus yang baik ini, kita tidak ada masalah untuk mereka memimpin negara sampai pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” menurutnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp